Friday, March 18, 2011

Kisah 40: Blues Terengganu Kita


Hari:Jumaat
Tarikh: 18Mac 2011


Memandangkan ini merupakan catatan yang terakhir saya untuk subjek Sosiolinguistik ini, saya memilih mengakhirinya dengan lagu popular rakyat Terengganu iaitu “Blues Terengganu Kita.” Ramai dalam kalangan kawan-kawan saya dari negeri yang berlainan mengetahui lagu ini. Hal ini membuktikan walaupun sesuatu lagu itu dalam dialek yang berlainan tetapi masih diterima oleh setiap lapisan masyarakat. Lagu ini membuatkan saya teringat kampung halaman dan tidak sabar untuk pulang ke Terengganu. Sebagai anak Terengganu saya bangga dilahirkan di negeri ini dan bertutur dalam dialek negeri atau daerah. Walaupun saya belajar di Perak, saya tetap menggunakan dialek saya apabila bersama kawan-kawan.



Ulasan:


Saya berasa sangat bangga dengan jati diri saya sebagai gadis Pantai Timur. Walaupun di mana kita berada kita perlu mengekalkan jati diri negeri kita. Jangan kita lupa asal usul kita apabila kita berada di puncak kejayaan. Banggalah kita menjadi rakyat negeri masing-masing kerana setiap negeri ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Thursday, March 17, 2011

Kisah 39: Bercakap Dengan Jelas


Hari:Khamis
Tarikh: 17Mac 2011




Dalam kelas Karya Agung tadi, sekali lagi saya belajar mengenai perkara baru mengenai cara berkomunikasi dengan betul. Sewaktu pelajar daripada kumpulan lain membentangkan tugasan mengenai Hikayat Abdullah, Profesor Abdullah Hassan telah menegur cara sebutan setiap ahli kumpulan. Antara yang sempat saya catat adalah:


  •     Sila sebut dengan sebutan yang jelas bagi menunjukkan Bahasa Melayu Tinggi.
  •   Perkataan perlu disebut sepatah-sepatah.
  •    Sebutan huruf “r” perlu jelas.
  •  Jangan sebut “ok” tetapi “baiklah.”
  • Penggunaan kata sendi yang betul.
Contoh: Apabila berada disekolah, jika kita ingin memanggil pelajar perlu dengan nada yang jelas iaitu;
“Pelajar datang sini!” (jelas dan tegas) BUKAN “Pelajar mai sini sat!”(suara lembut)

Salah satu ayat yang agak lucu yang dinyatakan oleh Profesor Abdullah Hassan ialah “jangan bercakap macam pondan.”

Ulasan:


Setiap teguran yang diberikan oleh Profesor Abdullah Hassan sangat bermakna kepada kami semua sebagai pelajar. Beliaulah yang paling banyak memberi teguran mengenai sebutan dan cara pertuturan yang betul. Beliau ingin memastikan apabila kami menjadi guru kelak, bahasa yang kami gunakan adalah Bahasa Melayu Tinggi dan bukan bahasa yang biasa dipertuturkan. Kami sebagai pelajar beliau akan cuba bertutur dengan bahasa yang lebih baik pada masa hadapan. Setiap nasihat dan teguran amat bermakna kepada kami semua.

Wednesday, March 16, 2011

Kisah 38: Bahasa Tempelak


Hari:Rabu
Tarikh: 16Mac 2011

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut;

“Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”





Ulasan:

Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.

Tuesday, March 15, 2011

Kisah 37: Bahasa Kiasan


Hari:Selasa
Tarikh: 15Mac 2011

Hari ini saya ingin menulis mengenai bahasa kiasan. Za’ba menyatakan bahawa bahasa kiasan adalah bahasa yang menyatakan sesuatu perkara yang mengkiaskan kepada perkara lain sama ada dengan menyebut atau tidak bandingan antaranya. Bahasa ini juga merupakan ungkapan pengucapan yang halus dan dapat meningkatkan imej seseorang apabila menggunakannya. Antara contoh bahasa kiasan yang kita sering gunakan ialah:

Kiasan bersandar – mandi kerbau
Kiasan terus – ayam tambatan
Kiasan berbunga – selimut kemalasan
Kiasan pemanis – buang air besar

Ulasan:

Secara tidak sedar, dalam pertuturan harian kita banyak menggunakan bahasa kiasan. Hal ini kerana bahasa kiasan lebih manis dan bersopan apabila dituturkan. Apabila menggunakan bahasa kiasan dalam komunikasi menunjukkan bahawa nilai dalam bahasa Melayu sangat tinggi.

Monday, March 14, 2011

Kisah 36: Latah


Hari:Isnin
Tarikh: 14Mac 2011


Hari ini saya ingin bercerita mengenai latah. Penyakit latah ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Kita biasa berjumpa dengan mereka yang suka melatah walaupun hanya perkara yang kecil.  Saya juga tidak terkecuali mempunyai kawan yang suka melatah. Antara latah yang tidak boleh saya lupa adalah sewaktu kawan saya ini tersadung kakinya;

Kawan saya: Opocot!mak kau jatuh!

Biasanya orang yang suka melatah ini akan melatah jika mereka dalam situasi yang membuatkan mereka terkejut. Namun terdapat juga kawan sekolah saya dahulu yang suka melatah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Kadang kala mendengar oarang melatah ini menimbulkan kelucuan tetapi sekiranya melatah perkara yang bukan-bukan akan menimbulkan rasa meluat oleh orang lain.

Contoh video mengenai latah


Ulasan:

Saya rasakan penyakit latah ini boleh diatasi sekiranya mereka tidak terlalu memikirkan perkataan itu sewaktu menghadapi situasi terkejut. Penyakit latah ini berlaku tidak mengira golongan sama ada golongan muda atau golongan tua. Seboleh mungkin kita perlu mengelakkan diri daripada melatah supaya tidak menjadi satu penyakit kepada kita.

Friday, March 11, 2011

Kisah 35: Apabila Isu Tsunami Jepun dijadikan Bahan Untuk Membuat Lawak


Hari:Jumaat
Tarikh: 11 Mac 2011

Siang tadi saya tengok berita yang mana Jepun dilanda satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun. Dan seterusnya mencetuskan tsunami setinggi 10 meter (30 kaki) hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pantai berkenaan. Waktu malam saya terus membuka youtube dan melihat betapa teruknya tsunami yang melanda Jepun ini. Sangat dasyat sehingga menghayutkan rumah, kereta, bot dan sebagainya. Angka mereka yang terkorban juga dikatakan mencecah hampir ribuan nyawa. Tetapi sewaktu saya melayari sebuah blog hiburan, saya melihat komen seorang artis yang cuba membuat lawak menggunakan isu bencana ini. Hal ini menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap sesuatu perkara serius  seperti ini.


Video pada hari kejadian

Ulasan:

Apabila berkaitan dengan nyawa dan kemusnahan harta benda, kita perlu mengambil perkara itu sebagai perkara yang serius. Kita seharusnya mengelakkan menggunakan sesuatu isu untuk dijadikan perkara yang lucu. Hal ini membuktikan bahawa sikap tidak mengambil berat dalam diri mereka walaupun mereka hanya menulis tanpa berkata-kata. Oleh itu, sekiranya ingin menulis sesuatu perkara harus berfikir banyak kali supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.


Thursday, March 10, 2011

Kisah 34: Teori Ketampanan Bahasa


Hari:Khamis
Tarikh: 10 Mac 2011
 
Satu lagi maklumat baru yang saya peroleh melalui kelas Karya Agung  pada minggu ini ialah mengenai Teori Ketampanan Sosial. Saya pada mulanya memang tidak mengetahui adanya teori ini. Namun selepas Profesor Emiritus Dr. Abdullah Hassan menjelaskan mengenai teori ini barulah saya faham. Apakah yang terdapat dalam teori ini:


  • ·         Guru menjadi tampan apabila berkelakuan mulia.
  • ·         Seseorang itu mesti mempunyai ilmu.
  • ·         Jangan memanggil orang dengan gelaran yang sama rata.
  • ·         Kita perlu bercakap dalam bahasa tinggi.  Jangan “you all dengar tak??”
  • ·         Rapi dari segi tatabahasa, sebutan dan berbudaya tinggi.

Ulasan:


Melalui Teori Ketampanan Bahasa ini saya memperoleh satu lagi ilmu baru. Penerapan yang digunakan sangat mudah tetapi agak sukar untuk dilakukan sekiranya tidak berusaha. Saya akan cuba menjadi seorang yang mempunyai ketampanan dalam berbahasa supaya saya tidak dipandang rendah oleh orang lain.

Wednesday, March 9, 2011

Kisah 33: Warna Pakaian Yang Tidak Siuman


Hari:Rabu
Tarikh: 9 Mac 2011


Setiap kali saya mengikuti kelas Karya Agung, saya pasti akan mendapat perkara baharu atau mendengar teguran daripada Profesor Emiritus  Dr. Abdullah Hassan. Salah satu perkara yang menarik hati saya adalah teguran beliau mengenai warna pakaian pelajar. Walaupun tegurannya lembut dan kelakar tetapi sangat memberi makna kepada kami semua mengenai penampilan kami.

Profesor Abdullah Hassan: Saya ingin menyentuh mengenai warna pakaian cikgu-cikgu. Kalau ingin berpakaian pilihlah warna pakaian yang siuman. Pilihlah warna-warna pucat dan tidak bercampur warna. Warna-warna inilah warna yang siuman.

Kami semua ketawa mendengar kata-katanya. Warna pakaian pun ada warna siuman ke??mungkin itu yang terlintas dalam fikiran setiap pelajar.  Kata-katanya seperti mengena batang hidung saya sendiri kerana warna baju yang saya pakai pada hari itu agak terang dan bercampur warna. Oh tidakkkk!!Warna pakaian saya adalah tidak siuman.

 Gambar hiasan:warna siuman


Gambar hiasan:warna tidak siuman
Ulasan:

Walau bagaimanapun perkara yang beliau cuba sampaikan adalah kita janganlah memakai pakaian yang terlalu menyerlah dan pelbagai warna. Hanya sekadar satu warna dan warna-warna yang pucat sudah memadai. Sebagai seorang bakal cikgu cukuplah berpenampilan sederhana tanpa melebihi had.

Tuesday, March 8, 2011

Kisah 32: Apabila Mat Lembut Bercakap


Hari:Selasa
Tarikh: 8Mac 2011


Sewaktu saya menunggu giliran mengambil duit di mesin ATM, lalu beberapa orang lelaki lembut. Dari jauh saya telah tahu bahawa lelaki tersebut adalah golongan lembut. Dengan mata yang diletak maskara dan kening yang diukir rapi. Ayunan langkah mereka mengalahkan perempuan tulen. Tiba-tiba saya terdengar perbualan mereka. Bukan terniat ingin mencuri dengar tetapi terdengar dengan tidak sengaja.

Lelaki X: Nyah!Cantek tak mak hari ni?
Lelaki Y: Cantek kau nyah!Meletops!

Terdapat lagi beberapa perbualan antara mereka. Dalam hati saya hanya berkata”tidakkkkkkkk....”antara rasa ingin ketawa dan sebagainya bercampur baur.

 Gambar hiasan

Ulasan:

Saya tidak tahu bahasa bagaimana yang sebenarnya dituturkan oleh golongan seperti ini. Mungkin perkataan mereka berbeza daripada perkataan yang digunakan oleh golongan biasa seperti kita. Melalui situasi yang saya alami ini saya terfikir bagaimana mereka boleh mencipta perkataan-perkataan yang tiada dalam kamus bahasa. Saya hanya berharap golongan mereka tidak akan mempengaruhi bahasa Melayu kita yang sememangnya sedia tercemar dengan bahasa rojak.

Monday, March 7, 2011

Kisah 31: Bahasa Terbalik


Hari:Isnin
Tarikh: 7 Mac 2011

Mungkin ramai yang selalu bertutur menggunakan bahasa terbalik ini untuk menyampaikan maksud. Secara tidak sedar atau sedar bahasa terbalik menjadi satu ungkapan yang kita sentiasa dengar. Bahasa terbalik bermaksud apa yang cuba diperkatakan mempunyai pertentangan maksud dengan perkataan yang diucapkan.
Contoh:

Situasi1

Apabila seorang pelajar suka menonton televisyen dan menyebabkan pencapaiannya merosot, ibunya mungkin akan berkata;
“Kan dah turun kelas, lain kali tontonlah lagi TV tu.


Situasi 2

Apabila seorang pemandu memandu dengan laju dan kemudiannya di saman oleh polis, isteri atau kawan mungkin akan berkata;
“Kan dah kena saman, lain kali bawalah laju lagi.”


Ulasan:

Kita menggunakan bahasa terbalik ini dengan tujuan untuk menyedarkan seseorang terhadap kesalahan yang disampaikan. Namun, kadang kala mereka yang melakukan kesalahan ini biasanya tidak menyedari kesalahan yang telah mereka lakukan. Penggunaan bahasa terbalik ini juga boleh membantu mereka supaya tidak melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Friday, March 4, 2011

Kisah 30: Kerenah Penjual


Hari:Jumaat
Tarikh: 4Mac 2011


Karnival pesta buku di KHAR telah berlangsung selama beberapa hari. Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh pihak kolej dengan menjemput penceramah dan penyanyi nasyid. Saya bersama kawan-kawan turun untuk melihat barang yang dijual. Kami singgah di sebuah kedai menjual pakain. Mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di dalam kedai itu. Saya pun bertanya harga.

Saya:Baju ni berapa harga?

Penjual: RM 30 je.

Saya: RM 30?? Tak boleh kurang ke?

Penjual: Tak boleh kurang dah. Ni pun kami jual dah murah dah ni.( Jawab dengan nada yang sombong)

Oleh kerana saya mendengar kata-kata penjual dala m nada yang agak kasar dan sombong, saya tidak jadi untuk membeli blaus tersebut.

Ulasan:

Menjadi seorang penjual perlu  mementingkan bahasa yang baik untuk menarik perhatian pelanggan.  Bahasa yang lembut dan menarik boleh menarik perhatian pengunjung untuk singgah membeli.  Dalam tawar menawar harga juga perlu menggunakan bahasa yang baik. Penjual perlu lebih berdiplomasi semasa berunding harga dengan pelanggan. Mereka tidak boleh menunjukkan riak yang sombong dan menjawab dengan nada yang kasar setiap pertanyaan pelanggan. Mereka seharusnya mempunyai etika semasa melakukan proses jual beli.

Thursday, March 3, 2011

Kisah 29:Falsafah Anak Tupai


Hari:Khamis
Tarikh: 3 Mac 2011



Dalam kelas Sosiolinguistik pada hari ini kami belajar mengenai Dialek yang terdapat di setiap negeri di Malaysia. Bermula dari dialek Kelantan, Terengganu sehinggalah negeri di utara. Setiap negeri ini mempunyai lagu mereka yang tersendiri. Dr. Siti Saniah telah menayangkan kepada kami video lagu “Anak Tupai” oleh Halim Yazid. Lagu dikir barat ini mempunyai kata-kata yang mendalam walaupun hanya menggunakan tupai sebagai simbol dalam lagu ini. Walaupun lagu ini menggunakan dialek Kelantan, maksud yang cuba disampaikan sangat mendalam apabila dihayati dengan baik. Lagu ini adalah mengenai kehidupan manusia. Sekiranya kita melakukan kejatan, kita akhirnya mendapat balasan. Bak kata pepatah “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.”

Wednesday, March 2, 2011

Kisah 28: Baru Saya Tahu


Hari:Rabu
Tarikh: 2Mac 2011


Saya sebilik dengan pelajar yang berasal dari Kedah. Dia suka bercakap dalam loghat Kedah dan saya pula  bercakap dalam loghat Terengganu. Walaupun berlainan loghat tetapi kami cuba memahami apa yang cuba disampaikan. Kalau tidak faham, masing-masing akan bertanya maksud sesuatu perkataan itu. Suatu petang, saya ingin membeli makanan di kedai. Budak sebilik saya bertanya;

Kawan sebilik: Kak Jeda nak pi mana ni?

Saya: Kak Jeda nak beli makanan. Nak kirim ke?

Kawan sebilik: Nak!Saya nak kirim “aih ketoi” ye!

Saya: “Aih ketoi” ada jual kat kedai makan ke?Tak pernah dengar pun. Kuih apa tu?

Kawan sebilik: “Aih ketoi” tu bukan kuih la. “Aih ketoi” tu ais la.(Dia ketawa sakan)

Saya: Oh!ingat kuih tadi.
 Gambar Hiasan

Ulasan:

Tinggal bersama kawan-kawan yang berlainan negeri turut memberikan pengalaman yang bermakna dalam hidup seseorang.  Secara tidak langsung kita boleh belajar mengenai dialek-dialek mereka.  Disinilah keunikan yang terdapat dalam bahasa. kita tidak perlu hanya mengetahui dialek kita sendiri serta baku tetapi kita juga perlu tahu sedikit sebanyak dialek negeri lain.  Hal ini juga penting untuk kita aplikasikan semasa kita bekerja kelak. Kemungkinan kita tidak bekerja di negeri kita sendiri dan bertugas di negeri lain. Semasa belajar inilah kita perlu banyak bergaul dan berkomunikasi dengan mereka yang berlainan negeri.

Tuesday, March 1, 2011

Kisah 27: Teguran Seorang Ibu


Hari:Selasa
Tarikh: 1 Mac 2011


Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai hobi yang biasa saya lakukan apabila mempunyai masa terluang. Saya sangat suka membaca novel penulis kegemaran saya seperti Ramlee Awang Mursyid. Saya mula membaca novel beliau sewaktu zaman sekolah dahulu semasa di tingkatan 2. Pada masa itu, saya masih belum terbuka hati untuk membelinya dan lebih suka meminjam daripada kawan-kawan. Namun, pada penghujung tahun lepas saya mula mengumpul koleksi novel Ramlee Awang Mursyid ini. Terlalu banyak novel yang beliau hasilkan dan setiap novelnya sangat menarik.  Hampir setiap minggu saya membeli novel.  Jarak antara rumah dan kedai menjual novel juga agak dekat. Daripada tiada novel koleksinya, dalam masa kurang daripada sebulan saya telah mengumpul 12 novel. Hal ini menyebabkan emak saya (saya panggil Ma) menegur perbuatan saya. Mungkin salah saya juga kerana saya terlalu obses untuk mengumpul koleksi beliau. Macam mana emak saya tidak menegur kerana saya bukan beli sebuah tetapi beli tiga atau empat buah novel dalam satu masa. Saya masih lagi mengingati perbualan saya dan emak saya itu selepas saya pulang dari kedai.

 Gambar hiasan


Emak: Beli novel lagi?? (tanya dengan nada terkejut).

Saya: Alaa Ma...Adik(nama manja) beli sikit je pun.

Emak: Sikit?? Dah banyak macam ni sikit lagi. Membazir duit betul budak ni! Nanti buka semester baru Ma tak nak bagi duit. Bagi duit pun bukan beli nasi tapi beli novel!

Saya: Ma jangan la macam tu. Adik janji tak beli banyak-banyak macam ni. Kalau nak beli pun sebuah je.(saya memujuk)


Ulasan:

Teguran dan ugutan daripada emak saya menyebabkan saya tidak dapat menyempurnakan niat untuk mengumpul semua koleksi novel Ramlee Awang Mursyid. Hanya sekadar 12 novel sahaja yang mampu saya miliki. Masih ada beberapa novel yang belum saya beli. Teguran daripada emak saya memang tepat. Saya sebagai seorang pelajar tidak seharusnya membazirkan duit untuk perkara yang remeh seperti ini. mungkin sebab terlalu minat saya menjadi seperti ini. Masih banyak perkara penting yang boleh dilakukan menggunakan duit. Saya melihat teguran emak saya sebagai perkara yang penting. Buktinya sehingga kini iaitu hampir dua  bulan lebih saya tidak membeli sebarang novel. Pesanan terakhir daripada saya, jadikan teguran daripada seorang emak sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.





Monday, February 28, 2011

Kisah 26: Pedihnya Sindiran


Hari: Isnin
Tarikh: 28 Februari 2011


Kelas Modal Insan berjalan seperti biasa. Oleh sebab, open book test diadakan pada minggu lepas, Dr. Azhar mengulas mengenai jawapan yang telah dibuat oleh kami semua. Hampir keseluruhan pelajar  menulis semula jawapan daripada buku dan bukan idea sendiri. Hal ini menyebabkan Dr. Azhar menegur tabiat yang kami lakukan.

Dr. Azhar: Masa exam nanti saya nak buat open book kepada kamu semua. Alat yang kamu perlu bawa adalah gunting dan gam sahaja. Lepas itu kamu tampal jawapan tersebut pada kertas jawapan.



Ulasan:
Walaupun kata-kata beliau agak kelakar tetapi mempunyai makna sindiran yang halus. Sebagai pelajar teguran yang berlapik seperti ini mungkin akan mengubah sedikit sebanyak sikap yang kurang baik dalam diri kami. Teguran atau sindiran seperti ini kadang kala mampu mengubah seseorang dari perkara yang tidak baik kepada perkara yang lebih baik.

Friday, February 25, 2011

Kisah 25: Anak Saudaraku Ingin Menjadi Ultraman


Hari: Jumaat
Tarikh: 25 Februari 2011

Perkara yang ingin saya kongsikan hari ini ialah mengenai anak saudara saya. Anak saudara saya ini berusia 4 tahun dan namanya Ariff. Mungkin menjadi lumrah dunia kanak-kanak yang tidak dapat dipisahkan dengan televisyen dan kartun. Rancangan kegemarannya adalah menonton Ultraman. Setiap hari pasti dia akan menonton cerita tersebut  di siaran Astro Ceria. Dia juga turut mempunyai koleksi DVD Ultraman yang dibeli khas oleh ibu bapanya. Bukan setakat itu sahaja, dia turut mempunyai sebakul penuh permainan Ultraman. Sewaktu cuti semester yang lepas, saya pulang selama seminggu. Selama seminggu itulah saya terpaksa melayan kerenahnya dan menjadikan saya kembali menjadi kanak-kanak sebayanya.Hahaha! Sewaktu melayan kerenahnya nakalnya saya sempat bertanya;




Saya: Ariff, besar nanti Ariff nak jadi apa?

Ariff:Ariff....Ariff....Ariff nak jadi Ultraman!



Saya:Hah??...Ultraman. Ariff jangan la jadi Ultraman penyelamat dunia tu. Ariff jadi doktor ye!(saya memujuk)

Ariff:Tak nak!Ariff nak jadi Ultraman(sambil membuat aksi Ultraman)

Saya hanya mampu ketawa dengan aksinya yang comel itu.

Ulasan:

Bersama dengan kanak-kanak membuatkan saya berfikir banyak perkara. Begitu susah untuk menjaga mereka sewaktu kecil dan cabaran yang dihadapi pada masa akan datang. Kanak-kanak sangat mudah dipengaruhi oleh unsur  persekitarannya. Sementelah mereka begitu bijak berkata-kata.  Sebagai orang dewasa, kitalah yang mampu mencorakkan dan memberi jalan kepada cita-cita mereka.  Dunia kanak-kanak hanya sementara. Suatu masa mereka turut akan dewasa dan mampu membuat keputusan sendiri untuk mencapai cita-cita.


Thursday, February 24, 2011

Kisah 24: Protokol Majlis Rasmi


Hari: Khamis
Tarikh: 24Februari 2011


 Dalam kelas Sosiolinguistik hari ini, saya amat tertarik dengan satu kisah yang diceritakan oleh Dr. Siti Saniah mengenai protokol sewaktu majlis rasmi. Salah satu majlis rasmi yang amat penting kepada semua mahasiswa adalah adat istiadat konvokesyen. Dr. Siti Saniah menceritakan mengenai seorang pelajar sewaktu majlis konvokesyen itu berlangsung.

Dr. Siti Saniah: Sewaktu majlis konvo tu, ada seorang budak perempuan  ni saya tengok tak boleh duduk diam. Asyik pandang ke sana ke sini. Pelajar tersebut kelihatan gelisah dan tak tentu arah. Pelajar lain yang menunggu giliran untuk mengambil ijazah tidak pula kelihatan gelisah sepertinya. Apabila sampai gilirannya mengambil ijazah, pelajar tersebut cepat-cepat  mengambilnya . Selepas itu, dia berlari-lari anak dan melompat menuruni tangga. Kelakuan pelajar itu menyebabkan ramai pensyarah termasuk saya berasa sangat malu. Nasib baik pelajar tersebut bukan dari Jabatan Bahasa Melayu.



Ulasan:


Apabila sesuatu majlis rasmi berlangsung, kita perlu mematuhi setiap protokol majlis. Apabila dinamakan majlis rasmi, tetamu yang dijemput adalah seseorang yang amat penting dan dihormati. Sama seperti istiadat konvokesyen ini. Canselornya adalah YAM Tengku Bainun. Sebagai pelajar, kita perlu mengetahui protokol sewaktu mengambil ijazah.  Mereka perlu melakukan latihan terlebih dahulu supaya sebarang kesilapan dapat dielakkan. Kelakuan tidak sopan dalam sesuatu majlis rasmi mencerminkan sikap tidak matang dan akan memalukan sesebuah organisasi.

Wednesday, February 23, 2011

Kisah 23: Teknik Mengajar KOMSAS


Hari: Rabu
Tarikh: 23 Februari 2011


Di dalam kelas KOMSAS pada hari ini, Dr. Siti Khairiah mengajar mengenai teknik pengajaran yang digunakan sewaktu mengajar KOMSAS di sekolah. Salah satu teknik yang digunakan adalah teknik mestamu.

MESTAMU:
  •   Mestamu bermaksud melagukan puisi tanpa muzik.
  •   Biasanya dilakukan secara berpasangan atau secara bersendirian.
  • Jika berpasangan, seorang akan mendeklamasikan puisi, manakala pasangannya akan melagukan puisi tersebut.
  • Jika besendirian, orang yang sama akan mendeklamasikan sajak sekali dengan melagukan bait-demi bait puisi yang dibacanya.
  • Nyanyian lagu puisi boleh diadaptasikan daripada lagu-lagu yang ada dipasaran atau ciptaan sendiri.
Ulasan:

Penggunaan pelbagai teknik dalam pengajaran adalah untuk memastikan pelajar lebih memahami perkara yang cuba disampaikan. Sebagai seorang guru, mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai teknik pengajaran supaya pembelajaran yang akan dilakukan itu berkesan. Dr. Khairiah menasihatkan, untuk menjadi seorang guru kita tidak boleh malu-malu sewaktu mengajar. Kita perlu membuang sifat malu tersebut supaya pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Kepelbagaian teknik sewaktu pelajar membolehkan seseorang guru itu mampu menarik minat pelajarnya. Bagi mengajar KOMSAS, teknik mestamu merupakan salah satu teknik yang amat menarik untuk diajarkan kepada pelajar.

Tuesday, February 22, 2011

Kisah 22:Gurindam Jiwa

Hari: Selasa
Tarikh: 22 Februari
 
Lagu klasik "Gurindan Jiwa" ini merupakan antara lagu lama yang menjadi kesukaan saya. Mungkin kedengaran agak lucu untuk golongan muda seperti saya meminati lagu seperti ini. Namun lirik lagu dan nyanyian yang didendangkan amat saya sukai. Lirik lagu ini sangat indah dan menyentuh kalbu. berikut adalah lirik lagu Gurindam Jiwa:


Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga

 Ulasan:

Lirik lagu lama merupakan lirik yang sangat indah. Masyarakat dahulu sangat pandai bermain dengan bahasa dan mencantikkan bahasa. Apabila didendangkan bahasanya menjadi sebuah melodi yang sangat indah. hal ini sangat berbeza dengan masyarakat pada hari ini yang kurang pandai bermain dengan bahasa sehingga terciptanya bahasa rojak. Sebagai golongan pelapis masa hadapan seharusnya kita mempertahankan keindahan bahasa seperti yang dilakukan oleh masyarakat dahulu.



Monday, February 21, 2011

Kisah 21: Pengaruh Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah


Hari: Isnin
Tarikh: 21 Februari 2011


Pengaruh filem “Hantu Kak Limah Balik Rumah” amat memberi kesan kepada kawan-kawan saya. Setiap hari ada saja perbualan yang menggunakan unsur dialog yang terdapat dalam filem tersebut. Antara perkataan yang digunakan adalah “ceciter-ceciter” sewaktu berbual.Pada mulanya saya kurang memahami perkara yang dituturkan oleh kawan-kawan saya kerana saya belum lagi menonton filem tersebut.   Secara jujurnya saya kurang meminati filem-filem seram Melayu kerana saya berpendapat kisah hantu yang difilemkan kurang menyeramkan berbanding cerita-cerita hantu negara Thai dan Jepun. Oleh sebab kawan saya mengatakan cerita ini best, saya meminta cerita tersebut daripadanya. Selesai menonton filem ini, barulah saya memahami kenapa kawan-kawan saya mempunyai trademark “ceciter-ceciter “ ini.  Rupa-rupanya filem juga mmapu mempengaruhi bahasa seseorang.

Ulasan:
Orang ramai terutamanya golongan muda mudah terpengaruh dengan sesuatu yang menarik hati dan minat mereka. Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan contoh yang terdekat yang mampu mempengaruhi penonton. Penggunaan bahasa-bahasa yang mudah dan kelakar seperti yang terdapat dalam cerita ini menyebabkan penonton menyukainya dan mengaplikasikan dalam kehidupan mereka. Secara keseluruhannya, medium komunikasi terutamanya media elektronik memainkan pengaruh yang besar dalam kehidupan masyarakat terutamanya pengaruh bahasa dan kelakuan.


Friday, February 18, 2011

Kisah 20: Dialek Besut


Hari: Jumaat
Tarikh: 18 Februari 2011


Dialek ialah variasi dari satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau komuniti bahasa. Dialek ditentukan oleh faktor geografi dan juga sosial. Besut merupakan sebuah daerah yang terdapat dalam negeri Terengganu. Walaupun berada dalam negeri Terengganu, dialek yang digunakan oleh masyarakat daerah ini sudah berubah daripada dialek masyarakat Terengganu yang lain. Hal ini terjadi kerana Besut bersempadan dengan negeri Kelantan. Oleh sebab itu, pertuturannya lebih kepada loghat Kelantan dan bercampur dengan loghat Terengganu juga. Kelebihannya, masyarakat daerah ini dapat menguasai dan memahami kedua-dua loghat negeri ini dengan baik.  Pertuturannya bercampur antara Kelantan dan Terengganu. Antara  contoh perkataan yang digunakan ialah;

tak mboh -  tak nak
tak dop – tak ada
gapo – apa
mende – apa
ghoyak – bagitahu
mung – kamu
kelik – balik
bang –azan
makan gulai - kenduri


Ulasan:

Setiap dialek yang dipertuturkan oleh masyarakat mempunyai keunikan yang tersendiri. Tidak salah untuk masyarakat negeri lain untuk mempelajari setiap dialek yang ada. Kita boleh menambahkan kemesraan apabila kita mampu bertutur dalam sesuatu dialek pertuturan. Perkara ini juga amat penting sekiranya seseorang itu bertugas di sesebuah tempat atau negeri lain. Mereka seharusnya berusaha menguasai bahasa pertuturan masyarakat setempat bagi memudahkan komunikasi berlaku.

Thursday, February 17, 2011

Kisah 19: Berkomunikasi Dengan Baik


Hari: Khamis
Tarikh: 17Februari 2011


Kelas Karya Agung pada hari ini berlangsung seperti biasa. Perkara yang ingin saya kupaskan pada hari ini adalah mengenai cara komunikasi. Dalam kelas ini, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan bertanyakan soalan mengenai maksud isu dengan gejala. Beliau meminta seorang pelajar perempuan (Pelajar X)  menjawab soalan yang dikemukakan tadi. Pelajar tersebut merupakan pelajar yang berasal dari Kelantan.

Prof Abdullah Hassan: Apakah maksud isu dan gejala?

Pelajar X: Pada pendapat saya prof isu adalah sesuatu yang menjadi perbualan ramai...

Salah seorang pelajar di dalam kelas menambah, “sesuatu yang diperkatakan orang dan boleh menjadi perkara yang besar”.

Pelajar X: Hoo...saya setuju.(dalam bahasa Kelantan ‘ho bermakna ya!)

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan member teguran secara lembut mengenai masalah ini. Beliau menyatakan bahawa sebagai seorang guru kita perlu biasakan diri bercakap dalam bahasa Melayu baku. Elakkan daripada menggunakan bahasa dialek apabila mengajar dan menjadi seorang guru. Kita juga seboleh-bolehnya perlu mengelakkan penggunaan ‘ –lah’ semasa mengajar.

Ulasan:

Teguran yang diberikan oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan amat bermakna kepada kami semua. Sebagai bakal seorang guru perkara ini amat penting supaya apabila mengajar, masalah seperti ini tidak timbul. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sudah terbiasa bertutur dalam bahasa dialek. Kadang kala dialek ini akan terkeluar sewaktu membentangkan sesuatu atau menjawab soalan. Walau bagaimanapun masalah ini masih boleh dielak sekiranya kita cuba berkomunikasi dengan bahasa baku dalam kehidupan harian kita.


Wednesday, February 16, 2011

Kisah 18: Pengajaran Komsas


Hari: Rabu
Tarikh: 16 Febuari 2011


Dalam kelas KOMSAS hari ini, Dr. Khairiah meminta semua pelajar berada dalam kumpulan. Beliau meminta wakil setiap kumpulan untuk melakukan pengajaran KOMSAS. Beliau ingin melihat bagaimana pelajar atau bakal seorang guru mengajar. Setiap wakil akan melakukan demonstrasi sebagai seorang guru. Berbagai ragam dan cara penyampaian yang dilakukan oleh setiap wakil kumpulan. Terdapat beberapa wakil  pelajar yang mewakili kumpulan lain yang amat menarik minat saya. Pelajar tersebut merupakan pelajar lelaki dan perwatakannya agak lembut.

Kumpulan 3:
Pelajar Y : Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini cikgu akan mengajar korang mengenai puisi. Korang tau tak apa itu puisi?

Kumpulan 5:
Pelajar X : Assalamualaikum. Hari ini cikgu akan mengajar you all mengenai sajak. Opss sorry!..tersasul  dalam bahasa Inggeris pulak!

Ulasan:

Melalui contoh-contoh pengajaran yang dilakukan oleh setiap wakil kumpulan ini, Dr. Khairiah menegur beberapa perkara terutamanya pertuturan pelajar. Apabila menjadi seorang guru, kita perlulah bertutur dengan baik. Jangan bertutur dalam campuran bahasa Melayu dan Inggeris apabila mengajar bahasa Melayu. Seseorang guru itu juga perlu menggunakan kata ganti diri yang sesuai kepada pelajar contohnya “pelajar” atau “kamu”. Hal ini amat penting apabila seseorang itu menjadi seorang guru kelak.

Tuesday, February 15, 2011

Kisah 17: Penasihat Akademik


Hari: Selasa
Tarikh: 15Februari 2011

Semester lepas saya menemani kawan saya untuk mengambil slip keputusan peperiksaan dengan Penasihat Akademiknya. Penasihat akademiknya merupakan seorang pensyarah perempuan. Kami bernasib baik kerana Penasihat Akademik kawan saya ada di dalam biliknya. Dengan sopan kami mengetuk bilik dan memberi  salam. Kami berdua masuk ke dalam bilik.

Kawan: Doktor saya nak ambil slip peperiksaan.

Penasihat Akademik: You siapa? Kalau kita masuk ke rumah orang bagitaulah nama. (tegas nada suaranya.)

Kawan saya memberitahu namanya dan tujuannya datang ke bilik. Kemudian Doktor itu melihat ke arah saya.

Penasihat Akademik: And you pula siapa?

Saya: Saya kawan dia.

Penasihat Akademik: Ada saya jemput you masuk? Kalau tuan rumah tak bagi masuk awak jangan masuk! Kita menjaga adat Melayu apabila berkunjung ke rumah orang. (Nada suaranya masih tegas dengan accent Inggeris )

Saya: Maafkan saya Doktor.(Saya terus keluar dari biliknya.)



Ulasan:

Peristiwa yang berlaku pada hari itu masih saya ingati sehingga kini. Saya mengambilnya sebagai pengajaran. Dalam menjalani kehidupan kita akan berjumpa dengan pelbagai ragam manusia. Dalam memberi teguran, kita perlu berhemah supaya pelajar menghormatinya. Mungkin konsep kesopanan antara seseorang dengan seseorang yang lain berbeza. Walaupun begitu, jika ingin menghalau seseorang keluar daripada biliknya perlulah dengan cara yang tidak menyakitkan hati seseorang.

Monday, February 14, 2011

Kisah 16: Peristiwa Menunggu Bas


Hari: Isnin
Tarikh: 14Februari 2011

Cerita yang ingin saya kongsikan hari ini adalah perkara yang berlaku pada hari Sabtu yang lalu. Sebelum cuti Tahun Baru Cina yang lalu, Profesor Mana Sikana telah menjemput semua pelajar Drama dan Amali Seni Lakon datang ke majlis perkahwinan anaknya. Saya dan kawan-kawan berasa sangat teruja dengan jemputan itu dan menulis nama untuk hadir. Pada hari yang dinyatakan, kawan saya meminta saya turun pada pukul 9.15 pagi kerana bas dijangka bertolak pada pukul 10 pagi. Perasaan kami sangat gembira kerana buat pertama kalinya kami dijemput ke rumah Profesor Mana Sikana.  Sepanjang menunggu ketibaan bas, kami mengambil peluang mengambil gambar di hadapan Auditorium sebagai kenangan. Tepat pukul 10 pagi, bas masih tidak datang. Kami menunggu sehingga pukul 11 pagi. 

Azira:Mana bas ni?Lambatnya datang.

Siti: Entah-entah tak jadi datang.

Pija:Biasa bas dah datang masa ni. Kita tunggu kejap lagi.

Tiba-tiba salah seorang daripada kawan kami datang. Berita yang dibawakan amat mengecewakan kami semua yang menunggu hampir dua jam lamanya.

Fadzil :Maaf semua. Kita tak dapat pergi ke rumah Profesor Mana Sikana pada hari ini.
Kawan-kawan: Kenapa??
Fadzil: Aku telefon pak cik bas dan dia cakap dia tidak mendapat arahan untuk program hari ini.
Kawan-kawan:Hah!apa??Macam mana boleh jadi macam tu.
Fadzil: Aku pun tak tahu. Aku hanya mengambil alih tugas yang diberikan tapi aku tak tahu pula boleh jadi macam ni. Tak tahu siapa yang bersalah.

Kami hanya mampu mengeluh dengan keadaan ini. Sejak dari pagi kami bersiap dengan perasaan yang gembira akhirnya diakhiri dengan rasa kecewa.

Ulasan:
Peristiwa yang berlaku pada hari ini sangat memberikan makna kepada kami semua. Walaupun perasaan masing-masing dalam keadaan marah dan kecewa tetapi kami mampu menghadapinya. Daripada peristiwa yang saya dan kawan-kawan alami pada hari membuktikan bahawa komunikasi berkesan amat penting. Kedua-dua pihak perlu memahami sesuatu perkara yang cuba disampaikan. Jika komunikasi tidak berlangsung dengan baik, kesannya boleh menyusahkan ramai pihak.

Friday, February 11, 2011

Kisah 15: Asas Pembentukan Peribadi Unggul



Hari: Jumaat
Tarikh: 11Februari 2011

Sewaktu di perpustakaan saya telah meminjam buku yang bertajuk “Remaja dan Pengurusan Diri”. Saya meminjam buku ini sebagai rujukan untuk membuat tugasan subjek Kesusasteraan Melayu Dalam Modal Insan. Sewaktu saya membaca buku ini saya amat tertarik dengan satu tajuk yang terdapat didalamnya iaitu “Asas Pembentukan Peribadi Unggul.”Terdapat beberapa ungkapan asas yang digunakan sebagai penanda seseorang itu mempunyai peribadi yang baik. Antaranya adalah;

  •    “Minta maaf kerana mengganggu” untuk mendapatkan kebenaran membuat gangguan; ini penting dalam situasi tertentu seperti dalam mesyuarat semasa orang sedang bercakap dan lain-lain.
  •  “Terima kasih” apabila menerima budi.
  • “Boleh izinkan saya” apabila meminta kebenaran.
  •  “Tolong” untuk menyuruh atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
  •  “Maafkan saya” apabila tersilap atau terkasar.
Untuk menjadikan ungkapan itu lebih sempurna, kita boleh menggabungkan dengan nama orang yang terlibat, misalnya;

  •  “Abang!Boleh tolong adik ambilkan kuih?”
  •  “Terima kasih pakcik,  atas pertolongan yang pak cik berikan.”
  •   “Minta maaf semua, saya nak sampaikan satu pengumuman.”
  •  “Nenek!Bolehkah saya ikut balik kampung?”
  •    “Maafkan saya ibu, sebab tak sempat mengemaskan buku-buku di atas meja.”

Ulasan:

Peribadi seseorang bergantung pada pendidikannya selepas dia dilahirkan. Peribadi yang baik dan sempurna adalah hasil daripada pendidikan yang baik dan sempurna. Peribadi yang baik dan perlu dipelajari dan diamalkan. Pemerolehan ilmu yang membina peribadi yang bersopan santun ini berlaku semasa proses kanak-kanak memperoleh ilmu mengguna bahasa. Didikan peribadi ini juga mempunyai kaitan rapat dengan bahasa sehingga terciptanya perumpamaan “bahasa menunjukkan bangsa” dan “bahasa jiwa bangsa.” Ungkapan ini bermakna bahawa bahasa mencerminkan peribadi dan cara hidup sesuatu bangsa. Asas utama pembentukan peribadi bermula daripada sikap hormat-menghormati serta perlakuan dan kesopanan dalam keluarga. Asuhan ini diperkukuhkan dan diperluaskan dalam pergaulan di sekolah, di tempat permainan, di rumah jiran, di majlis rasmi dan tidak rasmi serta ke mana sahaja anda berada termasuk di tandas dan tempat awam. Oleh itu, sebagai seorang yang diberikan akal fikiran yang sempurna kita perlulah memastikan peribadi kita sentiasa unggul dan sempurna.










Thursday, February 10, 2011

Kisah 14: Bahasa Sopan Sewaktu Belajar


Hari: Khamis
Tarikh: 10 Februari 2011

Kelas Sosiolinguistik berjalan seperti biasa pada hari ini. Terdapat beberapa  perkara menarik dan melucukan berlaku di dalam kelas. Tajuk yang diajar oleh Dr. Siti Saniah pada hari ini adalah berkenaan dengan “Kesetiaan Terhadap Bahasa.” Dr. Siti Saniah menerangkan dengan menarik mengenai tajuk ini bagi memudahkan kami memahami perkara yang diajar. Seterusnya kami belajar mengenai bagaimana pertembungan bahasa berlaku.  Negara Jepun menjadi sebutan kerana telah menjajah Tanah Melayu untuk beberapa ketika pada zaman dahulu.


Dr. Siti Saniah: Selipar Jepun kini menjadi style remaja masa kini. Selipar Jepun kini mempunyai pelbagai jenis kerana ada yang rendah dan juga yang tinggi.
Pelajar: Ya Doktor. Sekarang pergi Kuala Lumpur pun orang  dah pakai selipar Jepun.
Dr. Siti Saniah: Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh pengaruh dari negara Barat. Mereka yang pakai Jeans dan selipar Jepun dianggap sebagai seorang yang bercita rasa tinggi. Selipar Jepun kini boleh dipakai dimana-mana sahaja. Hal ini berbeza  dengan zaman dahulu. Kalau dulu selipar Jepun digunakan...
Pelajar S : Di dalam jamban Doktor.(Semua pelajar ketawa)

Dr. Siti Saniah: Jamban??Perkataan Jamban tidak sesuai digunakan sewaktu dalam kelas kerana kelas dianggap sebagai majlis formal. Kita perlu menggunakan ‘eufemisme’ iaitu melembutkan bahasa sewaktu bertutur. Oleh itu perkataan ‘jamban’  perlu ditukar kepada ‘tandas’ bagi melembutkan bahasa.

Ulasan:

Pembelajaran yang berlaku pada hari ini banyak member pengetahuan kepada saya. Mungkin sebelum ini penggunaan bahasa yang digunakan oleh ramai orang agak kasar tanpa disedari mereka. Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa bahasa yang dituturkan itu merupakan bahasa yang tidak sesuai dengan situasi. Golongan remaja perlu dititikberatkan menggunakan bahasa yang baik sewaktu bertutur kerana bahasa mencerminkan jati diri sebenar seseorang. Melalui ungkapan eufemisme percakapan yang kasar akan bertukar menjadi percakapan yang lebih sopan.

Wednesday, February 9, 2011

Kisah 13: Petua Orang Melayu Zaman Dahulu


Hari: Rabu
Tarikh: 9 Februari 2011

Pembelajaran Kesusasteraan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) pada hari ini agak menarik. Hal ini kerana Dr.Khairiah menceritakan mengenai petua-petua yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman dahulu. Beliau menyatakan bahawa orang zaman dahulu kuat mengamalkan petua dan pantang larang dalam kehidupan harian mereka. Antara perkara yang sentiasa dititikberatkan. 

Dr. Khairiah: Awak semua tahu tak masyarakat zaman dulu mengamalkan pelbagai petua dan pantang larang dalam kehidupan mereka. Antaranya adalah gadis pada zaman dahulu dilarang menyanyi di dapur.
Pelajar: Kenapa Doktor?
Dr. Khairiah: Kerana masyarakat pada zaman dahulu percaya bahawa apabila seseorang gadis suka menyanyi di dapur mereka akan mendapat lelaki tua sebagai suami. Selain itu juga perempuan mengandung dilarang duduk di atas kayu berakar kerana dipercayai uri peranakan mereka akan terlekat pada akar tersebut.
Pelajar: Lagi Doktor?
Dr. Khairiah: Biasanya masyarakat zaman dahulu juga turut mempunyai isyarat tertentu. Contohnya apabila tetamu datang ke rumah, ibu akan mengenyit mata kepada anak mereka.
Pelajar: Kenapa Doktor? Mungkin mak dia sakit mata kot!
Dr.Khairiah: Terdapat dua makna kenyitan mata itu dilakukan. Pertama membawa makna untuk menyuruh anak-anak beredar dan yang kedua adalah arahan untuk membuat air kepada tetamu.
Pelajar: Sebenarnya apa motif amalan tersebut dilakukan Doktor?
Dr. Khairiah: Motif pantang larang ini dilakukan adalah untuk menjaga perilaku seseorang individu supaya lebih bersopan santun. Contohnya perempuan mengandung dilarang duduk di atas akar pokok kerana tidak cantik dipandang.

Ulasan:
Masyarakat kita pada hari ini tidak lagi mementingkan pantang larang atau amalan seperti masyarakat dahulu. Mungkin masyarakat Melayu pada hari ini tidak lagi mementingkan baik buruk kelakuan mereka. Kini tiada lagi amalan-amalan seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu lama. Hal ini mungkin terjadi disebabkan oleh masyarakat Melayu pada hari ini semakin berkembang maju dan tidak lagi yakin untuk mengamalkan petua-petua orang zaman dahulu. Selain itu, masyarakat pada hari ini mengganggap amalan tersebut tidak lagi wajar dilakukan. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu kini yang tidak lagi mementingkan kesopanan dalam kehidupan mereka.



Tuesday, February 8, 2011

Kisah 12: Berinteraksi Di Telefon


Hari: Selasa
Tarikh: 8 Februari 2011

Telefon menjadi alat komunikasi yang penting pada hari ini. Hampir setiap orang memiliki telefon terutamanya telefon bimbit. Kanak-kanak dan golongan remaja pada zaman teknologi hari ini juga turut mempunyai telefon bimbit. Sewaktu berinteraksi menggunakan telefon ini terdapat berbagai-bagai gaya yang digunakan sama ada ya ng bersopan dan juga tidak sopan. Menjawab telefon dengan cara sopan dapat dilakukan dengan pelnagai cara. Apabila telefon berbunyi kita perlu segera mengangkat gangang tetapi bukan tergesa-gesa. Pegang telefon dengan baik dan selesa  kemudian jawablah dengan suara yang jelas dan lembut dengan menyebut;

“Hello, siapa di sana?Ingin bercakap dengan siapa?” atau “Hello, Aida di sini bercakap, ada yang boleh saya bantu?”

Berikut pula merupakan contoh ketidaksopanan apabila menelefon;

Aina: Hello!Aida ada?
Emak:Aida tak ada.
Aina:Bila dia balik?
Emak: Tak tahulah...
Aina: Okeylah!
Emak:Siapa cakap ni?
Aina: Tak payah tahulah.

Perbualan ini merupakan perbualan yang tidak sopan dan kurang ajar kerana tidak menunjukkan sikap menghormati dengan orang yang menjawab telefon. Kita dianggap sopan jika menyebutkan nama kita semasa membuat panggilan telefon, walaupun orang yang menjawab panggilan itu tidak memperkenalkan dirinya. Kita perlu memastikan orang yang bercakap dengan kita itu orang yang anda panggil dengan cara menanya namanya terlebih dahulu. Perlakuan ini menunjukkan bahawa kita seorang yang menghormati orang lain.

Monday, February 7, 2011

Kisah 11: Sopan Santun Di Meja Makan


Hari: Isnin
Tarikh: 7 Februari 2011

Semasa saya bercuti di kampung yang lalu kawan baik saya mengajak keluar bersama-sama. Kami sentiasa bertemu apabila masing-masing bercuti bagi melepaskan kerinduan setelah agak lama tidak berjumpa. Seperti biasa kami akan pergi ke kedai makan kegemaran kami berdua sejak zaman persekolahan lagi. Kedai makan tersebut sentiasa menjadi pilihan kami kerana  makanannya enak dan suasananya sesuai dengan jiwa kami. Sewaktu kami masuk ke dalam kedai tersebut, orang agak ramai dan kami memilih tempat yang hujung. Di sebelah meja kami terdapat sekumpulan remaja lelaki yang menunggu makanan tiba. Salah seorang daripada mereka mendapat makanan terlebih dahulu. 

Remaja X: Weih!Aku melantak dulu la. Aku dah kebulur tak makan sejak pagi tadi.
Remaja Y:Tunggu la dulu. Makanan kami semua tak sampai lagi. Makan sekali laa.
Remaja X: Alaa. Aku lapar sangat dah ni. Korang makan la nanti. Aku makan dulu!

Tanpa menghiraukan kawan-kawan yang lain, remaja tersebut terus makan sampai habis. Selesai menghabiskan makanannya, tanpa segan dia melepaskan sendawa yang agak kuat. Saya dan kawan saya hanya menggelengkan kepala melihat perangai tidak sopan remaja itu.


Ulasan:

Gaya makan seseorang menggambarkan peribadi orang itu. Oleh sebab itu kesopanan di meja makan dijadikan satu cara penilaian peribadi oleh masyarakat di Asia, terutamanya dalam usaha mencari bakal pasangan hidup. Disebabkan keadaan itulah kesopanan di meja makan lebih banyak diutamakan daripada kesopanan yang lain dalam pertemuan sosial. Makan bersama-sama orang lainmerupakan satu bentuk perkongsian yang amat besar ertinya untuk mewujudkan suasana bahagia semasa menikmati juadah. Hidangan yang mudah dan biasa akan menjadi lebih lazat dan menggembirakan sekiranya dinikmati dalam suasana makan yang tertib dan bersopan santun. Begitu jugalah sebaliknya, makanan yang lazat dan dihias indahtidak akan terasa nikmatnya sekiranya kita makan dengan seseorang yang tidak bersopan. Hal ini bermakna sopan santun di meja makan boleh membuka selera dan boleh mematikan selera. Masa makan adalah pertemuan sosial yang pentin. Selalunya kita berasa lebih selesa apabila makan bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan berbanding orang lain. jika kita sudah membiasakan diri agar sentiasa bersopan di meja makan, kita akan terus berasa yakin dan berselera untuk makan semeja bersama-sama sesiapa sahaja dan dalam majlis sosial di mana sahaja.