Hari: Jumaat
Sewaktu di perpustakaan saya telah meminjam buku yang bertajuk “Remaja dan Pengurusan Diri”. Saya meminjam buku ini sebagai rujukan untuk membuat tugasan subjek Kesusasteraan Melayu Dalam Modal Insan. Sewaktu saya membaca buku ini saya amat tertarik dengan satu tajuk yang terdapat didalamnya iaitu “Asas Pembentukan Peribadi Unggul.”Terdapat beberapa ungkapan asas yang digunakan sebagai penanda seseorang itu mempunyai peribadi yang baik. Antaranya adalah;
- “Minta maaf kerana mengganggu” untuk mendapatkan kebenaran membuat gangguan; ini penting dalam situasi tertentu seperti dalam mesyuarat semasa orang sedang bercakap dan lain-lain.
- “Terima kasih” apabila menerima budi.
- “Boleh izinkan saya” apabila meminta kebenaran.
- “Tolong” untuk menyuruh atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
- “Maafkan saya” apabila tersilap atau terkasar.
Untuk menjadikan ungkapan itu lebih sempurna, kita boleh menggabungkan dengan nama orang yang terlibat, misalnya;
- “Abang!Boleh tolong adik ambilkan kuih?”
- “Terima kasih pakcik, atas pertolongan yang pak cik berikan.”
- “Minta maaf semua, saya nak sampaikan satu pengumuman.”
- “Nenek!Bolehkah saya ikut balik kampung?”
- “Maafkan saya ibu, sebab tak sempat mengemaskan buku-buku di atas meja.”
Ulasan:
Peribadi seseorang bergantung pada pendidikannya selepas dia dilahirkan. Peribadi yang baik dan sempurna adalah hasil daripada pendidikan yang baik dan sempurna. Peribadi yang baik dan perlu dipelajari dan diamalkan. Pemerolehan ilmu yang membina peribadi yang bersopan santun ini berlaku semasa proses kanak-kanak memperoleh ilmu mengguna bahasa. Didikan peribadi ini juga mempunyai kaitan rapat dengan bahasa sehingga terciptanya perumpamaan “bahasa menunjukkan bangsa” dan “bahasa jiwa bangsa.” Ungkapan ini bermakna bahawa bahasa mencerminkan peribadi dan cara hidup sesuatu bangsa. Asas utama pembentukan peribadi bermula daripada sikap hormat-menghormati serta perlakuan dan kesopanan dalam keluarga. Asuhan ini diperkukuhkan dan diperluaskan dalam pergaulan di sekolah, di tempat permainan, di rumah jiran, di majlis rasmi dan tidak rasmi serta ke mana sahaja anda berada termasuk di tandas dan tempat awam. Oleh itu, sebagai seorang yang diberikan akal fikiran yang sempurna kita perlulah memastikan peribadi kita sentiasa unggul dan sempurna.
No comments:
Post a Comment