Tuesday, March 1, 2011

Kisah 27: Teguran Seorang Ibu


Hari:Selasa
Tarikh: 1 Mac 2011


Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai hobi yang biasa saya lakukan apabila mempunyai masa terluang. Saya sangat suka membaca novel penulis kegemaran saya seperti Ramlee Awang Mursyid. Saya mula membaca novel beliau sewaktu zaman sekolah dahulu semasa di tingkatan 2. Pada masa itu, saya masih belum terbuka hati untuk membelinya dan lebih suka meminjam daripada kawan-kawan. Namun, pada penghujung tahun lepas saya mula mengumpul koleksi novel Ramlee Awang Mursyid ini. Terlalu banyak novel yang beliau hasilkan dan setiap novelnya sangat menarik.  Hampir setiap minggu saya membeli novel.  Jarak antara rumah dan kedai menjual novel juga agak dekat. Daripada tiada novel koleksinya, dalam masa kurang daripada sebulan saya telah mengumpul 12 novel. Hal ini menyebabkan emak saya (saya panggil Ma) menegur perbuatan saya. Mungkin salah saya juga kerana saya terlalu obses untuk mengumpul koleksi beliau. Macam mana emak saya tidak menegur kerana saya bukan beli sebuah tetapi beli tiga atau empat buah novel dalam satu masa. Saya masih lagi mengingati perbualan saya dan emak saya itu selepas saya pulang dari kedai.

 Gambar hiasan


Emak: Beli novel lagi?? (tanya dengan nada terkejut).

Saya: Alaa Ma...Adik(nama manja) beli sikit je pun.

Emak: Sikit?? Dah banyak macam ni sikit lagi. Membazir duit betul budak ni! Nanti buka semester baru Ma tak nak bagi duit. Bagi duit pun bukan beli nasi tapi beli novel!

Saya: Ma jangan la macam tu. Adik janji tak beli banyak-banyak macam ni. Kalau nak beli pun sebuah je.(saya memujuk)


Ulasan:

Teguran dan ugutan daripada emak saya menyebabkan saya tidak dapat menyempurnakan niat untuk mengumpul semua koleksi novel Ramlee Awang Mursyid. Hanya sekadar 12 novel sahaja yang mampu saya miliki. Masih ada beberapa novel yang belum saya beli. Teguran daripada emak saya memang tepat. Saya sebagai seorang pelajar tidak seharusnya membazirkan duit untuk perkara yang remeh seperti ini. mungkin sebab terlalu minat saya menjadi seperti ini. Masih banyak perkara penting yang boleh dilakukan menggunakan duit. Saya melihat teguran emak saya sebagai perkara yang penting. Buktinya sehingga kini iaitu hampir dua  bulan lebih saya tidak membeli sebarang novel. Pesanan terakhir daripada saya, jadikan teguran daripada seorang emak sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.





No comments:

Post a Comment