Friday, March 18, 2011

Kisah 40: Blues Terengganu Kita


Hari:Jumaat
Tarikh: 18Mac 2011


Memandangkan ini merupakan catatan yang terakhir saya untuk subjek Sosiolinguistik ini, saya memilih mengakhirinya dengan lagu popular rakyat Terengganu iaitu “Blues Terengganu Kita.” Ramai dalam kalangan kawan-kawan saya dari negeri yang berlainan mengetahui lagu ini. Hal ini membuktikan walaupun sesuatu lagu itu dalam dialek yang berlainan tetapi masih diterima oleh setiap lapisan masyarakat. Lagu ini membuatkan saya teringat kampung halaman dan tidak sabar untuk pulang ke Terengganu. Sebagai anak Terengganu saya bangga dilahirkan di negeri ini dan bertutur dalam dialek negeri atau daerah. Walaupun saya belajar di Perak, saya tetap menggunakan dialek saya apabila bersama kawan-kawan.



Ulasan:


Saya berasa sangat bangga dengan jati diri saya sebagai gadis Pantai Timur. Walaupun di mana kita berada kita perlu mengekalkan jati diri negeri kita. Jangan kita lupa asal usul kita apabila kita berada di puncak kejayaan. Banggalah kita menjadi rakyat negeri masing-masing kerana setiap negeri ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Thursday, March 17, 2011

Kisah 39: Bercakap Dengan Jelas


Hari:Khamis
Tarikh: 17Mac 2011




Dalam kelas Karya Agung tadi, sekali lagi saya belajar mengenai perkara baru mengenai cara berkomunikasi dengan betul. Sewaktu pelajar daripada kumpulan lain membentangkan tugasan mengenai Hikayat Abdullah, Profesor Abdullah Hassan telah menegur cara sebutan setiap ahli kumpulan. Antara yang sempat saya catat adalah:


  •     Sila sebut dengan sebutan yang jelas bagi menunjukkan Bahasa Melayu Tinggi.
  •   Perkataan perlu disebut sepatah-sepatah.
  •    Sebutan huruf “r” perlu jelas.
  •  Jangan sebut “ok” tetapi “baiklah.”
  • Penggunaan kata sendi yang betul.
Contoh: Apabila berada disekolah, jika kita ingin memanggil pelajar perlu dengan nada yang jelas iaitu;
“Pelajar datang sini!” (jelas dan tegas) BUKAN “Pelajar mai sini sat!”(suara lembut)

Salah satu ayat yang agak lucu yang dinyatakan oleh Profesor Abdullah Hassan ialah “jangan bercakap macam pondan.”

Ulasan:


Setiap teguran yang diberikan oleh Profesor Abdullah Hassan sangat bermakna kepada kami semua sebagai pelajar. Beliaulah yang paling banyak memberi teguran mengenai sebutan dan cara pertuturan yang betul. Beliau ingin memastikan apabila kami menjadi guru kelak, bahasa yang kami gunakan adalah Bahasa Melayu Tinggi dan bukan bahasa yang biasa dipertuturkan. Kami sebagai pelajar beliau akan cuba bertutur dengan bahasa yang lebih baik pada masa hadapan. Setiap nasihat dan teguran amat bermakna kepada kami semua.

Wednesday, March 16, 2011

Kisah 38: Bahasa Tempelak


Hari:Rabu
Tarikh: 16Mac 2011

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut;

“Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”





Ulasan:

Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.

Tuesday, March 15, 2011

Kisah 37: Bahasa Kiasan


Hari:Selasa
Tarikh: 15Mac 2011

Hari ini saya ingin menulis mengenai bahasa kiasan. Za’ba menyatakan bahawa bahasa kiasan adalah bahasa yang menyatakan sesuatu perkara yang mengkiaskan kepada perkara lain sama ada dengan menyebut atau tidak bandingan antaranya. Bahasa ini juga merupakan ungkapan pengucapan yang halus dan dapat meningkatkan imej seseorang apabila menggunakannya. Antara contoh bahasa kiasan yang kita sering gunakan ialah:

Kiasan bersandar – mandi kerbau
Kiasan terus – ayam tambatan
Kiasan berbunga – selimut kemalasan
Kiasan pemanis – buang air besar

Ulasan:

Secara tidak sedar, dalam pertuturan harian kita banyak menggunakan bahasa kiasan. Hal ini kerana bahasa kiasan lebih manis dan bersopan apabila dituturkan. Apabila menggunakan bahasa kiasan dalam komunikasi menunjukkan bahawa nilai dalam bahasa Melayu sangat tinggi.

Monday, March 14, 2011

Kisah 36: Latah


Hari:Isnin
Tarikh: 14Mac 2011


Hari ini saya ingin bercerita mengenai latah. Penyakit latah ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Kita biasa berjumpa dengan mereka yang suka melatah walaupun hanya perkara yang kecil.  Saya juga tidak terkecuali mempunyai kawan yang suka melatah. Antara latah yang tidak boleh saya lupa adalah sewaktu kawan saya ini tersadung kakinya;

Kawan saya: Opocot!mak kau jatuh!

Biasanya orang yang suka melatah ini akan melatah jika mereka dalam situasi yang membuatkan mereka terkejut. Namun terdapat juga kawan sekolah saya dahulu yang suka melatah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Kadang kala mendengar oarang melatah ini menimbulkan kelucuan tetapi sekiranya melatah perkara yang bukan-bukan akan menimbulkan rasa meluat oleh orang lain.

Contoh video mengenai latah


Ulasan:

Saya rasakan penyakit latah ini boleh diatasi sekiranya mereka tidak terlalu memikirkan perkataan itu sewaktu menghadapi situasi terkejut. Penyakit latah ini berlaku tidak mengira golongan sama ada golongan muda atau golongan tua. Seboleh mungkin kita perlu mengelakkan diri daripada melatah supaya tidak menjadi satu penyakit kepada kita.

Friday, March 11, 2011

Kisah 35: Apabila Isu Tsunami Jepun dijadikan Bahan Untuk Membuat Lawak


Hari:Jumaat
Tarikh: 11 Mac 2011

Siang tadi saya tengok berita yang mana Jepun dilanda satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun. Dan seterusnya mencetuskan tsunami setinggi 10 meter (30 kaki) hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pantai berkenaan. Waktu malam saya terus membuka youtube dan melihat betapa teruknya tsunami yang melanda Jepun ini. Sangat dasyat sehingga menghayutkan rumah, kereta, bot dan sebagainya. Angka mereka yang terkorban juga dikatakan mencecah hampir ribuan nyawa. Tetapi sewaktu saya melayari sebuah blog hiburan, saya melihat komen seorang artis yang cuba membuat lawak menggunakan isu bencana ini. Hal ini menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap sesuatu perkara serius  seperti ini.


Video pada hari kejadian

Ulasan:

Apabila berkaitan dengan nyawa dan kemusnahan harta benda, kita perlu mengambil perkara itu sebagai perkara yang serius. Kita seharusnya mengelakkan menggunakan sesuatu isu untuk dijadikan perkara yang lucu. Hal ini membuktikan bahawa sikap tidak mengambil berat dalam diri mereka walaupun mereka hanya menulis tanpa berkata-kata. Oleh itu, sekiranya ingin menulis sesuatu perkara harus berfikir banyak kali supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.


Thursday, March 10, 2011

Kisah 34: Teori Ketampanan Bahasa


Hari:Khamis
Tarikh: 10 Mac 2011
 
Satu lagi maklumat baru yang saya peroleh melalui kelas Karya Agung  pada minggu ini ialah mengenai Teori Ketampanan Sosial. Saya pada mulanya memang tidak mengetahui adanya teori ini. Namun selepas Profesor Emiritus Dr. Abdullah Hassan menjelaskan mengenai teori ini barulah saya faham. Apakah yang terdapat dalam teori ini:


  • ·         Guru menjadi tampan apabila berkelakuan mulia.
  • ·         Seseorang itu mesti mempunyai ilmu.
  • ·         Jangan memanggil orang dengan gelaran yang sama rata.
  • ·         Kita perlu bercakap dalam bahasa tinggi.  Jangan “you all dengar tak??”
  • ·         Rapi dari segi tatabahasa, sebutan dan berbudaya tinggi.

Ulasan:


Melalui Teori Ketampanan Bahasa ini saya memperoleh satu lagi ilmu baru. Penerapan yang digunakan sangat mudah tetapi agak sukar untuk dilakukan sekiranya tidak berusaha. Saya akan cuba menjadi seorang yang mempunyai ketampanan dalam berbahasa supaya saya tidak dipandang rendah oleh orang lain.

Wednesday, March 9, 2011

Kisah 33: Warna Pakaian Yang Tidak Siuman


Hari:Rabu
Tarikh: 9 Mac 2011


Setiap kali saya mengikuti kelas Karya Agung, saya pasti akan mendapat perkara baharu atau mendengar teguran daripada Profesor Emiritus  Dr. Abdullah Hassan. Salah satu perkara yang menarik hati saya adalah teguran beliau mengenai warna pakaian pelajar. Walaupun tegurannya lembut dan kelakar tetapi sangat memberi makna kepada kami semua mengenai penampilan kami.

Profesor Abdullah Hassan: Saya ingin menyentuh mengenai warna pakaian cikgu-cikgu. Kalau ingin berpakaian pilihlah warna pakaian yang siuman. Pilihlah warna-warna pucat dan tidak bercampur warna. Warna-warna inilah warna yang siuman.

Kami semua ketawa mendengar kata-katanya. Warna pakaian pun ada warna siuman ke??mungkin itu yang terlintas dalam fikiran setiap pelajar.  Kata-katanya seperti mengena batang hidung saya sendiri kerana warna baju yang saya pakai pada hari itu agak terang dan bercampur warna. Oh tidakkkk!!Warna pakaian saya adalah tidak siuman.

 Gambar hiasan:warna siuman


Gambar hiasan:warna tidak siuman
Ulasan:

Walau bagaimanapun perkara yang beliau cuba sampaikan adalah kita janganlah memakai pakaian yang terlalu menyerlah dan pelbagai warna. Hanya sekadar satu warna dan warna-warna yang pucat sudah memadai. Sebagai seorang bakal cikgu cukuplah berpenampilan sederhana tanpa melebihi had.

Tuesday, March 8, 2011

Kisah 32: Apabila Mat Lembut Bercakap


Hari:Selasa
Tarikh: 8Mac 2011


Sewaktu saya menunggu giliran mengambil duit di mesin ATM, lalu beberapa orang lelaki lembut. Dari jauh saya telah tahu bahawa lelaki tersebut adalah golongan lembut. Dengan mata yang diletak maskara dan kening yang diukir rapi. Ayunan langkah mereka mengalahkan perempuan tulen. Tiba-tiba saya terdengar perbualan mereka. Bukan terniat ingin mencuri dengar tetapi terdengar dengan tidak sengaja.

Lelaki X: Nyah!Cantek tak mak hari ni?
Lelaki Y: Cantek kau nyah!Meletops!

Terdapat lagi beberapa perbualan antara mereka. Dalam hati saya hanya berkata”tidakkkkkkkk....”antara rasa ingin ketawa dan sebagainya bercampur baur.

 Gambar hiasan

Ulasan:

Saya tidak tahu bahasa bagaimana yang sebenarnya dituturkan oleh golongan seperti ini. Mungkin perkataan mereka berbeza daripada perkataan yang digunakan oleh golongan biasa seperti kita. Melalui situasi yang saya alami ini saya terfikir bagaimana mereka boleh mencipta perkataan-perkataan yang tiada dalam kamus bahasa. Saya hanya berharap golongan mereka tidak akan mempengaruhi bahasa Melayu kita yang sememangnya sedia tercemar dengan bahasa rojak.

Monday, March 7, 2011

Kisah 31: Bahasa Terbalik


Hari:Isnin
Tarikh: 7 Mac 2011

Mungkin ramai yang selalu bertutur menggunakan bahasa terbalik ini untuk menyampaikan maksud. Secara tidak sedar atau sedar bahasa terbalik menjadi satu ungkapan yang kita sentiasa dengar. Bahasa terbalik bermaksud apa yang cuba diperkatakan mempunyai pertentangan maksud dengan perkataan yang diucapkan.
Contoh:

Situasi1

Apabila seorang pelajar suka menonton televisyen dan menyebabkan pencapaiannya merosot, ibunya mungkin akan berkata;
“Kan dah turun kelas, lain kali tontonlah lagi TV tu.


Situasi 2

Apabila seorang pemandu memandu dengan laju dan kemudiannya di saman oleh polis, isteri atau kawan mungkin akan berkata;
“Kan dah kena saman, lain kali bawalah laju lagi.”


Ulasan:

Kita menggunakan bahasa terbalik ini dengan tujuan untuk menyedarkan seseorang terhadap kesalahan yang disampaikan. Namun, kadang kala mereka yang melakukan kesalahan ini biasanya tidak menyedari kesalahan yang telah mereka lakukan. Penggunaan bahasa terbalik ini juga boleh membantu mereka supaya tidak melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Friday, March 4, 2011

Kisah 30: Kerenah Penjual


Hari:Jumaat
Tarikh: 4Mac 2011


Karnival pesta buku di KHAR telah berlangsung selama beberapa hari. Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh pihak kolej dengan menjemput penceramah dan penyanyi nasyid. Saya bersama kawan-kawan turun untuk melihat barang yang dijual. Kami singgah di sebuah kedai menjual pakain. Mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di dalam kedai itu. Saya pun bertanya harga.

Saya:Baju ni berapa harga?

Penjual: RM 30 je.

Saya: RM 30?? Tak boleh kurang ke?

Penjual: Tak boleh kurang dah. Ni pun kami jual dah murah dah ni.( Jawab dengan nada yang sombong)

Oleh kerana saya mendengar kata-kata penjual dala m nada yang agak kasar dan sombong, saya tidak jadi untuk membeli blaus tersebut.

Ulasan:

Menjadi seorang penjual perlu  mementingkan bahasa yang baik untuk menarik perhatian pelanggan.  Bahasa yang lembut dan menarik boleh menarik perhatian pengunjung untuk singgah membeli.  Dalam tawar menawar harga juga perlu menggunakan bahasa yang baik. Penjual perlu lebih berdiplomasi semasa berunding harga dengan pelanggan. Mereka tidak boleh menunjukkan riak yang sombong dan menjawab dengan nada yang kasar setiap pertanyaan pelanggan. Mereka seharusnya mempunyai etika semasa melakukan proses jual beli.

Thursday, March 3, 2011

Kisah 29:Falsafah Anak Tupai


Hari:Khamis
Tarikh: 3 Mac 2011



Dalam kelas Sosiolinguistik pada hari ini kami belajar mengenai Dialek yang terdapat di setiap negeri di Malaysia. Bermula dari dialek Kelantan, Terengganu sehinggalah negeri di utara. Setiap negeri ini mempunyai lagu mereka yang tersendiri. Dr. Siti Saniah telah menayangkan kepada kami video lagu “Anak Tupai” oleh Halim Yazid. Lagu dikir barat ini mempunyai kata-kata yang mendalam walaupun hanya menggunakan tupai sebagai simbol dalam lagu ini. Walaupun lagu ini menggunakan dialek Kelantan, maksud yang cuba disampaikan sangat mendalam apabila dihayati dengan baik. Lagu ini adalah mengenai kehidupan manusia. Sekiranya kita melakukan kejatan, kita akhirnya mendapat balasan. Bak kata pepatah “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.”

Wednesday, March 2, 2011

Kisah 28: Baru Saya Tahu


Hari:Rabu
Tarikh: 2Mac 2011


Saya sebilik dengan pelajar yang berasal dari Kedah. Dia suka bercakap dalam loghat Kedah dan saya pula  bercakap dalam loghat Terengganu. Walaupun berlainan loghat tetapi kami cuba memahami apa yang cuba disampaikan. Kalau tidak faham, masing-masing akan bertanya maksud sesuatu perkataan itu. Suatu petang, saya ingin membeli makanan di kedai. Budak sebilik saya bertanya;

Kawan sebilik: Kak Jeda nak pi mana ni?

Saya: Kak Jeda nak beli makanan. Nak kirim ke?

Kawan sebilik: Nak!Saya nak kirim “aih ketoi” ye!

Saya: “Aih ketoi” ada jual kat kedai makan ke?Tak pernah dengar pun. Kuih apa tu?

Kawan sebilik: “Aih ketoi” tu bukan kuih la. “Aih ketoi” tu ais la.(Dia ketawa sakan)

Saya: Oh!ingat kuih tadi.
 Gambar Hiasan

Ulasan:

Tinggal bersama kawan-kawan yang berlainan negeri turut memberikan pengalaman yang bermakna dalam hidup seseorang.  Secara tidak langsung kita boleh belajar mengenai dialek-dialek mereka.  Disinilah keunikan yang terdapat dalam bahasa. kita tidak perlu hanya mengetahui dialek kita sendiri serta baku tetapi kita juga perlu tahu sedikit sebanyak dialek negeri lain.  Hal ini juga penting untuk kita aplikasikan semasa kita bekerja kelak. Kemungkinan kita tidak bekerja di negeri kita sendiri dan bertugas di negeri lain. Semasa belajar inilah kita perlu banyak bergaul dan berkomunikasi dengan mereka yang berlainan negeri.

Tuesday, March 1, 2011

Kisah 27: Teguran Seorang Ibu


Hari:Selasa
Tarikh: 1 Mac 2011


Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai hobi yang biasa saya lakukan apabila mempunyai masa terluang. Saya sangat suka membaca novel penulis kegemaran saya seperti Ramlee Awang Mursyid. Saya mula membaca novel beliau sewaktu zaman sekolah dahulu semasa di tingkatan 2. Pada masa itu, saya masih belum terbuka hati untuk membelinya dan lebih suka meminjam daripada kawan-kawan. Namun, pada penghujung tahun lepas saya mula mengumpul koleksi novel Ramlee Awang Mursyid ini. Terlalu banyak novel yang beliau hasilkan dan setiap novelnya sangat menarik.  Hampir setiap minggu saya membeli novel.  Jarak antara rumah dan kedai menjual novel juga agak dekat. Daripada tiada novel koleksinya, dalam masa kurang daripada sebulan saya telah mengumpul 12 novel. Hal ini menyebabkan emak saya (saya panggil Ma) menegur perbuatan saya. Mungkin salah saya juga kerana saya terlalu obses untuk mengumpul koleksi beliau. Macam mana emak saya tidak menegur kerana saya bukan beli sebuah tetapi beli tiga atau empat buah novel dalam satu masa. Saya masih lagi mengingati perbualan saya dan emak saya itu selepas saya pulang dari kedai.

 Gambar hiasan


Emak: Beli novel lagi?? (tanya dengan nada terkejut).

Saya: Alaa Ma...Adik(nama manja) beli sikit je pun.

Emak: Sikit?? Dah banyak macam ni sikit lagi. Membazir duit betul budak ni! Nanti buka semester baru Ma tak nak bagi duit. Bagi duit pun bukan beli nasi tapi beli novel!

Saya: Ma jangan la macam tu. Adik janji tak beli banyak-banyak macam ni. Kalau nak beli pun sebuah je.(saya memujuk)


Ulasan:

Teguran dan ugutan daripada emak saya menyebabkan saya tidak dapat menyempurnakan niat untuk mengumpul semua koleksi novel Ramlee Awang Mursyid. Hanya sekadar 12 novel sahaja yang mampu saya miliki. Masih ada beberapa novel yang belum saya beli. Teguran daripada emak saya memang tepat. Saya sebagai seorang pelajar tidak seharusnya membazirkan duit untuk perkara yang remeh seperti ini. mungkin sebab terlalu minat saya menjadi seperti ini. Masih banyak perkara penting yang boleh dilakukan menggunakan duit. Saya melihat teguran emak saya sebagai perkara yang penting. Buktinya sehingga kini iaitu hampir dua  bulan lebih saya tidak membeli sebarang novel. Pesanan terakhir daripada saya, jadikan teguran daripada seorang emak sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.