Friday, March 18, 2011

Kisah 40: Blues Terengganu Kita


Hari:Jumaat
Tarikh: 18Mac 2011


Memandangkan ini merupakan catatan yang terakhir saya untuk subjek Sosiolinguistik ini, saya memilih mengakhirinya dengan lagu popular rakyat Terengganu iaitu “Blues Terengganu Kita.” Ramai dalam kalangan kawan-kawan saya dari negeri yang berlainan mengetahui lagu ini. Hal ini membuktikan walaupun sesuatu lagu itu dalam dialek yang berlainan tetapi masih diterima oleh setiap lapisan masyarakat. Lagu ini membuatkan saya teringat kampung halaman dan tidak sabar untuk pulang ke Terengganu. Sebagai anak Terengganu saya bangga dilahirkan di negeri ini dan bertutur dalam dialek negeri atau daerah. Walaupun saya belajar di Perak, saya tetap menggunakan dialek saya apabila bersama kawan-kawan.



Ulasan:


Saya berasa sangat bangga dengan jati diri saya sebagai gadis Pantai Timur. Walaupun di mana kita berada kita perlu mengekalkan jati diri negeri kita. Jangan kita lupa asal usul kita apabila kita berada di puncak kejayaan. Banggalah kita menjadi rakyat negeri masing-masing kerana setiap negeri ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Thursday, March 17, 2011

Kisah 39: Bercakap Dengan Jelas


Hari:Khamis
Tarikh: 17Mac 2011




Dalam kelas Karya Agung tadi, sekali lagi saya belajar mengenai perkara baru mengenai cara berkomunikasi dengan betul. Sewaktu pelajar daripada kumpulan lain membentangkan tugasan mengenai Hikayat Abdullah, Profesor Abdullah Hassan telah menegur cara sebutan setiap ahli kumpulan. Antara yang sempat saya catat adalah:


  •     Sila sebut dengan sebutan yang jelas bagi menunjukkan Bahasa Melayu Tinggi.
  •   Perkataan perlu disebut sepatah-sepatah.
  •    Sebutan huruf “r” perlu jelas.
  •  Jangan sebut “ok” tetapi “baiklah.”
  • Penggunaan kata sendi yang betul.
Contoh: Apabila berada disekolah, jika kita ingin memanggil pelajar perlu dengan nada yang jelas iaitu;
“Pelajar datang sini!” (jelas dan tegas) BUKAN “Pelajar mai sini sat!”(suara lembut)

Salah satu ayat yang agak lucu yang dinyatakan oleh Profesor Abdullah Hassan ialah “jangan bercakap macam pondan.”

Ulasan:


Setiap teguran yang diberikan oleh Profesor Abdullah Hassan sangat bermakna kepada kami semua sebagai pelajar. Beliaulah yang paling banyak memberi teguran mengenai sebutan dan cara pertuturan yang betul. Beliau ingin memastikan apabila kami menjadi guru kelak, bahasa yang kami gunakan adalah Bahasa Melayu Tinggi dan bukan bahasa yang biasa dipertuturkan. Kami sebagai pelajar beliau akan cuba bertutur dengan bahasa yang lebih baik pada masa hadapan. Setiap nasihat dan teguran amat bermakna kepada kami semua.

Wednesday, March 16, 2011

Kisah 38: Bahasa Tempelak


Hari:Rabu
Tarikh: 16Mac 2011

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut;

“Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”





Ulasan:

Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.

Tuesday, March 15, 2011

Kisah 37: Bahasa Kiasan


Hari:Selasa
Tarikh: 15Mac 2011

Hari ini saya ingin menulis mengenai bahasa kiasan. Za’ba menyatakan bahawa bahasa kiasan adalah bahasa yang menyatakan sesuatu perkara yang mengkiaskan kepada perkara lain sama ada dengan menyebut atau tidak bandingan antaranya. Bahasa ini juga merupakan ungkapan pengucapan yang halus dan dapat meningkatkan imej seseorang apabila menggunakannya. Antara contoh bahasa kiasan yang kita sering gunakan ialah:

Kiasan bersandar – mandi kerbau
Kiasan terus – ayam tambatan
Kiasan berbunga – selimut kemalasan
Kiasan pemanis – buang air besar

Ulasan:

Secara tidak sedar, dalam pertuturan harian kita banyak menggunakan bahasa kiasan. Hal ini kerana bahasa kiasan lebih manis dan bersopan apabila dituturkan. Apabila menggunakan bahasa kiasan dalam komunikasi menunjukkan bahawa nilai dalam bahasa Melayu sangat tinggi.

Monday, March 14, 2011

Kisah 36: Latah


Hari:Isnin
Tarikh: 14Mac 2011


Hari ini saya ingin bercerita mengenai latah. Penyakit latah ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Kita biasa berjumpa dengan mereka yang suka melatah walaupun hanya perkara yang kecil.  Saya juga tidak terkecuali mempunyai kawan yang suka melatah. Antara latah yang tidak boleh saya lupa adalah sewaktu kawan saya ini tersadung kakinya;

Kawan saya: Opocot!mak kau jatuh!

Biasanya orang yang suka melatah ini akan melatah jika mereka dalam situasi yang membuatkan mereka terkejut. Namun terdapat juga kawan sekolah saya dahulu yang suka melatah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Kadang kala mendengar oarang melatah ini menimbulkan kelucuan tetapi sekiranya melatah perkara yang bukan-bukan akan menimbulkan rasa meluat oleh orang lain.

Contoh video mengenai latah


Ulasan:

Saya rasakan penyakit latah ini boleh diatasi sekiranya mereka tidak terlalu memikirkan perkataan itu sewaktu menghadapi situasi terkejut. Penyakit latah ini berlaku tidak mengira golongan sama ada golongan muda atau golongan tua. Seboleh mungkin kita perlu mengelakkan diri daripada melatah supaya tidak menjadi satu penyakit kepada kita.

Friday, March 11, 2011

Kisah 35: Apabila Isu Tsunami Jepun dijadikan Bahan Untuk Membuat Lawak


Hari:Jumaat
Tarikh: 11 Mac 2011

Siang tadi saya tengok berita yang mana Jepun dilanda satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun. Dan seterusnya mencetuskan tsunami setinggi 10 meter (30 kaki) hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pantai berkenaan. Waktu malam saya terus membuka youtube dan melihat betapa teruknya tsunami yang melanda Jepun ini. Sangat dasyat sehingga menghayutkan rumah, kereta, bot dan sebagainya. Angka mereka yang terkorban juga dikatakan mencecah hampir ribuan nyawa. Tetapi sewaktu saya melayari sebuah blog hiburan, saya melihat komen seorang artis yang cuba membuat lawak menggunakan isu bencana ini. Hal ini menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap sesuatu perkara serius  seperti ini.


Video pada hari kejadian

Ulasan:

Apabila berkaitan dengan nyawa dan kemusnahan harta benda, kita perlu mengambil perkara itu sebagai perkara yang serius. Kita seharusnya mengelakkan menggunakan sesuatu isu untuk dijadikan perkara yang lucu. Hal ini membuktikan bahawa sikap tidak mengambil berat dalam diri mereka walaupun mereka hanya menulis tanpa berkata-kata. Oleh itu, sekiranya ingin menulis sesuatu perkara harus berfikir banyak kali supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.


Thursday, March 10, 2011

Kisah 34: Teori Ketampanan Bahasa


Hari:Khamis
Tarikh: 10 Mac 2011
 
Satu lagi maklumat baru yang saya peroleh melalui kelas Karya Agung  pada minggu ini ialah mengenai Teori Ketampanan Sosial. Saya pada mulanya memang tidak mengetahui adanya teori ini. Namun selepas Profesor Emiritus Dr. Abdullah Hassan menjelaskan mengenai teori ini barulah saya faham. Apakah yang terdapat dalam teori ini:


  • ·         Guru menjadi tampan apabila berkelakuan mulia.
  • ·         Seseorang itu mesti mempunyai ilmu.
  • ·         Jangan memanggil orang dengan gelaran yang sama rata.
  • ·         Kita perlu bercakap dalam bahasa tinggi.  Jangan “you all dengar tak??”
  • ·         Rapi dari segi tatabahasa, sebutan dan berbudaya tinggi.

Ulasan:


Melalui Teori Ketampanan Bahasa ini saya memperoleh satu lagi ilmu baru. Penerapan yang digunakan sangat mudah tetapi agak sukar untuk dilakukan sekiranya tidak berusaha. Saya akan cuba menjadi seorang yang mempunyai ketampanan dalam berbahasa supaya saya tidak dipandang rendah oleh orang lain.