Hari:Rabu
Tarikh:19 Januari 2011
Hari ini saya menghadiri kelas Kesusasteraan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas). Banyak perkara yang saya pelajari di dalam kelas ini bersama Dr. Siti Khairiah. Hari ini saya belajar beberapa tajuk yang terdapat dalam komsas seperti syair, seloka dan gurindam. Perkara yang menarik minat saya adalah syair yang dibaca oleh Dr. Khairiah. Syair alunannya penuh indah dan menusuk jiwa. Berikut merupakan rangkap syair yang telah dibaca oleh Dr. Siti Khairiah di dalam kelas;
Anakku sayang salahmu nyata,
Dalam pelajaran bertutur kata,
Duduk menulis kalam di lata,
Kembali kepada sekalian pendeta.
Kerana pelajaran beratur pangkatnya,
Jangan dicampur yang bukan masanya,
Kerja demikian besar salahnya,
Faham tak lekat dalam keduanya.
Pendengaran pasti menjadi haru,
Yang ditulis pun tentu keliru,
Laksana menumbuk beralas nyiru,
Berasnya luluh antah menderu.
Ulasan :
Pada waktu itu, saya terfikir bahawa betapa indahnya syair yang dihasilkan oleh orang Melayu. Setiap rangkap yang dihasilkan memberi makna yang mendalam untuk dihayati. Masih ramai yang tidak mengetahui syair juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Antara ciri-ciri syair adalah setiap rangkap ada empat baris dan berfungsi sebagai kesatuan idea tetapi rangkap itu tidak boleh berdiri sendiri. Dalam syair juga terdapat hentian sebentar dalam satu baris atau dikenali juga sebagai jeda. Jumlah suku kata yang terdapat dalam syair adalah 8 sehingga 12 suku kata dan jumlah perkataan adalah 3 hingga 5 perkataan. Pola akhir dalam syair aa;aa dan isi syair mengisahkan perihal percintaan, pengajaran, falsafah, keagamaan dan lain-lain.
Pada pendapat saya, bagi seseorang guru bahasa mereka perlu menguasai cara menyampaikan syair bagi membolehkan pelajar turut menguasai syair. Namun Kebanyakan guru pada hari ini tidak lagi menyampaikan syair di hadapan pelajar. Oleh sebab itu, tidak ramai pelajar pada masa ini boleh menyampaikan syair dengan baik. Sebagai orang Melayu kita hendaklah mengetahui segala komponen sastera yang terdapat di dalam iaitu syair bagi membolehkan warisan kita berkekalan.
No comments:
Post a Comment