Friday, January 28, 2011

Kisah 10: Penghormatan Melalui Panggilan dan Gelaran


Hari: Jumaat
Tarikh: 28 Januari 2011

Kisah yang ingin saya nukilkan pada hari ini saya dengar daripada kakak sebilik saya semester lepas. Dia menceritakan kepada saya semasa dia pergi ke fakultinya untuk berjumpa dengan pensyarah. Sewaktu di ruang legar fakulti, dia melihat seorang pelajar seperti ingin mencari bilik pensyarah. Melihat daripada segi penampilan dan cara pelajar tersebut, kakak sebilik saya ini mengagak bahawa pelajar itu pelajar semester pertama.Pada masa tersebut masuk seorang pensyarah wanita yang berumur. Pelajar tadi bertanya kepada pensyarah tersebut;

Pelajar X: Mak cik, boleh saya tanya kat mana bilik pensyarah X?

Mendengar persoalan yang dikeluarkan itu, dia terus dimarahi oleh pensyarah tersebut kerana dianggap tidak menghormatinya. Mendengar cerita yang diceritakan oleh kakak sebilik saya itu, saya tidak dapat menahan ketawa.

Ulasan:

 Cerita tersebut membuatkan saya terfikir bahawa gelaran atau panggilan amat penting mengikut tempat dan keadaan kita berada. Mungkin kita tidak pernah berfikir bahawa kesilapan panggilan atau gelaran boleh menyebabkan orang itu marah atau terasa hati. Menggunakan kata panggilan dan gelaran yang baik mengikut orang, masa, tempat serta majlis amat digalakkan. Terdapat bermacam-macam penggunaan kata panggilan mengikut taraf dan kedudukan seseorang. Misalnya ada gelaran yang diwarisi, gelaran kurniaan, gelaran ikhtisas, rujukan kehormat, gelaran keagamaan, gelaran olokan, gelaran keturunan dan gelaran biasa. Ada juga gelaran disebabkan hubungan kekeluargaan, persahabatan atau kehebatan karektor seseorang. Amatlah baik kalau kita dapat menggunakan kata panggilan formal yang telah ditetapkan dengan betul dan sesuai terutamanya kata gelaran diraja dan gelaran kurniaan, rujukan kehormat dan gelaran ikhtisas. Penggunaan kata panggilan yang betul menandakan kita orang yang amat menghormati orang lain terutamanya orang yang lebih dewasa daripada kita. Perkara ini juga menandakan kita tahu adab dan sopan-santun dalam pergaulan dengan masyarakat. Sifat ini penting dimiliki kerana kalau kita tahu dan pandai menghormati orang, orang akan menghormati kita. Hal ini sama seperti pepatah Melayu iaitu “bahasa menunjukkan jiwa bangsa.” Jangan sampai menjadi menjadi seperti kata orang “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa.”Oleh itu cuba teliti dan fahami kemudian gunakan kata panggilan yang sesuai mengikut orang, tempat dan keadaan yang sesuai.




Thursday, January 27, 2011

Kisah 9: Bahasa Jiwa Bangsa


Hari: Khamis
Tarikh: 27 Januari 2011


Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi;

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Antara lainnya berbunyi;
Kalau cakap tidak cermat,
Tentu kamu tidak selamat,
Kalau kelakuan tidak hormat,
Tentu hidup tidak selamat.
Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu;
Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan,
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.


Ulasan:
Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa melayu tanpa mengambil  kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di Negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan berbudi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. 



Wednesday, January 26, 2011

Kisah 8: Bahasa Rojak, Melayu Humberger


Hari: Rabu
Tarikh: 26 Januari 2011

Tajuk yang ingin saya kupas pada hari ini adalah mengenai bahasa Melayu rojak. Saya mengambil tajuk ini sewaktu terbaca rencana keratan akhbar lama yang terdapat dalam internet.
 Masalah bahasa banyak, kata Dr. Rais, dan cabaran kepada lebih kurang 25 orang anggota Panel Penasihat Penyiaran itu ialah untuk melihat bagaimana siaran awam dan swasta menjalankan tugas masing-masing di samping mendapat keuntungan tanpa membelakangkan budaya, tatasusila dan kehidupan masyarakat di Malaysia.
''Kita ingin melihat penggunaan bahasa Melayu yang seragam, berhemah dan bermartabat. Bukan bahasa rojak,'' tegasnya. Di samping itu, panel tersebut juga mencadangkan kepada Menteri Penerangan supaya siaran swasta ada unsur-unsur membina, jangan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan bahasa.
''Dalam bidang tugas Panel Penasihat Penyiaran, kita juga berhadapan dengan permasalahan bahasa yang disalahgunakan, yang kita dapati jika tidak diawasi dan diperbetulkan, mungkin membawa kepada satu budaya yang sangat merendahkan martabat bahasa kita,'' katanya.
Tiga aspek permasalahan itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam sistem pendidikan swasta dan ketidakseragaman bahasa penyiaran.
Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling baru dalam penyiaran, katanya.
''Dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris.
''Sungguhpun perkara itu pada pandangan asasnya tidak ada apa-apa (salah), tetapi anak akan mengikut, murid akan mengikut, akhirnya bahasa Melayu sudah tidak ada - yang ada ialah bahasa rojak, bahasa campuran,'' jelasnya.
Keadaan ini kata beliau, akan menggagalkan usaha mewujudkan bahasa baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Begitu juga penggunaan 'I' dan 'you' dalam bahasa harian yang sudah begitu lumrah. Perkara ini sukar diungkit, kata beliau, memandangkan ''menteri pun sudah bercakap demikian, inikan pulak orang di bawah.''
''Oleh sebab itu, Melayu kini ialah 'Melayu hamburger'. Kita tidak balik-balik ke pangkal.


Ulasan:
Masyarakat Melayu pada hari ini banyak dipengaruhi oleh bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam perbualan harian mereka. Masalah ini telah berlaku sejak sekian lama tetapi semakin meruncing untuk era baru ini. hal ini amat berbeza dengan masyarakat luar negara seperti Jepun kerana walaupun negara  mereka merupakan sebuah negara yang maju namun mereka terus hormat dan membahasakan diri sebagai orang Jepun. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya mesti muncul daripada pemikiran pihak berkuasa seperti kabinet. Dalam masyarakat berbilang bangsa, keupayaan masyarakat hidup harmoni dalam sebuah negara merupakan satu aset penting kepada pembangunan negara berkenaan. Malaysia seringkali dijadikan oleh masyarakat dunia sebagai negara yang mampu hidup dengan aman dan harmoni sekalipun mempunyai pelbagai bangsa.
Kita juga sering bercakap tentang mewujudkan satu 'bangsa Malaysia'. Namun bagaimanakah bentuk bahasa Malaysia nanti - apakah bahasa Melayu rojak yang digunakan sekarang ini adalah 'bahasa bangsa Malaysia' kurun ke-21? Ingatlah, bahasa itu bangsa.

Tuesday, January 25, 2011

Kisah 7: Lisa Surihani Terlepas Cakap


Hari: Selasa
Tarikh: 25 Januari 2011

Sewaktu saya melayari internet, saya membuka  sebuah laman hiburan iaitu Murai. Com. Perkara yang ingin saya kongsikan bukan mengenai cerita peribadi artis-artis Malaysia tetapi saya tertarik mengenai kisah Lisa Surihani. Lisa Surihani bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini kerana beliau merupakan seorang pelakon yang popular pada masa kini. Beliau juga turut menjadi pengacara dalam Mari Menari pada akhir tahun lepas. Perkara yang ingin saya kupaskan dalam blog saya ini adalah mengenai Lisa Surihani yang tersalah cakap sewaktu program akhir Mari Menari ini.
Ramai penonton program ini terkejut apabila mendengar Lisa telah menyebut satu perkataan yang agak kurang manis bunyinya dalam siaran langsung program Mari Menari tersebut. Pemilik blog hiburan ini juga menyatakan bahawa bukan sahaja dia terkejut, malahan ribuan ibu dan bapa yang menonton program ini di studio terkesima apabila mendengar Lisa menyebut perkataan tersebut. Bagi yang terlepas menonton siaran langsung tersebut, Lisa yang cantik dan manis itu telah menyebut perkataan “Gila Babi” sewaktu mengacarakan program ini. Walaupun ayat ini  bukanlah dikategorikan ayat mencarut, tapi mengikut pendapat saya, ayat ini tidak sesuai digunakan dalam bahasa pengacaraan televisyen. Ayat yang dikeluarkan ini agak kasar dan perlu dielakkan apabila  mengacarakan rancangan secara langsung. Hal ini akan membawa kepada ikutan ramai terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja yang masih tidak dapat membezakan baik dan buruk perkataan yang dituturkan ini. Setiap perkara yang dilakukan oleh golongan artis biasanya menjadi ikutan ramai.


Monday, January 24, 2011

Kisah 6: Bahasa SMS Yang Menggerunkan


Hari: Isnin
Tarikh: 24 Januari 2011

Hari ini saya telah membuka sebuah laman blog. Saya tertarik dengan tajuk yang dikemukakan oleh pemilik laman blog tersebut iaitu “Bahasa SMS Yang Menggerunkan”. Tajuk ini menyebabkan saya membaca perkara yang dinyatakannya. Pemilik blog tersebut menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk SMS atau singkatan huruf semakin serius dalam kalangan remaja. Seperti yang kita ketahui,Facebook merupakan alat penghubung yang paling popular pada masa kini. Namun begitu, penggunaan laman ini juga menyebabkan berlakunya kerosakan dalam bahasa Melayu. Facebook tidak mengehadkan jumlah perkataan yang digunakan sewaktu kita menggunakannya. Walau bagaimanapun, menjadi tabiat masyarakat Melayu pada hari ini terutamanya golongan remaja menggunakan singkatan perkataan sewaktu berhubung dengan rakan-rakan mereka.
Berikut merupakan contoh penggunaan bahasa SMS tersebut;



“adakah aq yg b’slh ngn pew yg t’jd???pttkah aq mtk mf kt mereka????aaarrrrrrrggghhhhh...semuany aq yd d pslhkn...cm mereka 2 xda wat slh pew2 pown...pd hak mereka jgak b’slh...jgnlah nk slhkn owg len laks...pd hal dry sndry x btoi...BENCI BENCI BENCI BENCI!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”

Kepada mereka yang tidak biasa dengan penggunaan singkatan seperti ini mungkin tidak memahami perkara yang cuba disampaikan. Saya sendiri mungkin mengambil masa seminit untuk memahaminya. Jika dilihat pada ayat yang ditulis itu semuanya menggunakan singkatan perkataan dan hanya ada beberapa perkataan sahaja yang dieja penuh. Disini saya akan menyenaraikan beberapa singkatan yang digunakan dalam ayat tersebut adalah;
aq- aku
yg- yang
b’slh- bersalah
ngn- dengan
pew- apa
t’jd- terjadi
owg- orang
dry sndry- diri sendiri
xbetoi- tak betul

Adakah singkatan ini memberi makna di dalam bahasa Melayu? Masalah seperti inilah yang sedang berlaku dalam bahasa Melayu pada hari ini. Jika kita mengunjungi blog-blog orang berbangsa Inggeris, penggunaan singkatan perkataan tidak banyak berlaku seperti yang dialami oleh bangsa kita. Sekiranya masyarakat antarabangsa ingin mempelajari bahasa Melayu mereka akan mengalami kesukaran sekiranya masalah penggunaan singkatan ini masih berterusan. Oleh sebab itu, sebagai orang Melayu kita seharusnya memartabatkan bahasa kita sendiri.

Friday, January 21, 2011

Kisah 5: Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa

Hari:Jumaat
Tarikh:21 Januari 2011



Hari ini saya dan rakan-rakan menghadiri seminar Sosiolinguistik yang diadakan di Dewan Seri Tanjung. Isu yang dibincangkan adalah mengenai “Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa”. Penceramah yang diundang dalam majlis ini adalah seorang tokoh bahasa yang tersohor iaitu Yang Berbahagia Profesor Doktor Awang Sariyan. Beliau merupakan Pemegang Kerusi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU).
Terdapat banyak perkara yang dibincangkan pada hari itu. Topik-topik yang dibincangkan juga sangat menarik dan berkaitan dengan isu semasa. Melalui ceramah yang disampaikan ini, semua pelajar dapat mengetahui mengenai Disiplin Sosiolinguistik, Evolusi Bahasa Dalam Masyarakat,Variasi Bahasa dan pelbagai lagi. Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai bahasa yang digunakan oleh masyarakat pada masa kini terutamanya golongan remaja. Profesor Doktor Awang Sariyan menyatakan bahawa bahasa Melayu kini semakin sempit kerana golongan muda banyak menggunakan singkatan perkataan dan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris .

Contoh penggunaan bahasa Melayu yang telah diubah adalah seperti berikut:
-          Katner – dekat mana
-          Chat – sihat
-          Watpe – buat apa
-          Naper – kenapa

Penggunaan singkatan seperti ini amat merosakkan bahasa dan menjadikan bahasa Melayu semakin rendah. Bahasa Melayu menjadi bahasa yang akan hilang nilainya sekiranya penggunaan bahasa-bahasa yang digunakan pada masa kini tidak dicegah. Jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini, bahasa Melayu semakin jauh ketinggalan. Oleh itu, semua pihak harus memberi tumpuan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa yang bernilai.



Thursday, January 20, 2011

Kisah 4: Aduhai Pensyarah!


Hari: Khamis
Tarikh:20 Januari 2011


Saya teringat peristiwa minggu lalu yang membuatkan saya masih mengingatinya. Pada hari tersebut, saya dan kawan-kawan saya yang lain mengikuti kelas di bangunan B.E Learning. Seperti biasa, suasana pada hari tersebut agak sesak dengan pelajar-pelajar yang pelbagai aliran. Kelas selesai  tepat pada waktunya iaitu pada pukul 12 tengah hari. Ramai pelajar menunggu di hadapan pintu lif dan menunggu sehingga terbuka. Tiba-tiba lif terbuka dan kelihatan ada seorang pensyarah di dalamnya. Kami ingin melangkah masuk di dalam lif tersebut namun pensyarah itu berkata dengan nada tegas, “Boleh tunggu sekejap tak!”.
Mendengar kata-kata itu, kami tidak jadi masuk ke dalam lif itu.  Kami tergamam mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut pensyarah itu. Kelihatannya perangai pensyarah itu seperti mementingkan diri sendiri. Entah bagaimana  salah seorang daripada kawan kami berjaya masuk ke dalam lif tersebut. Kemudian kami bertemu semula dengan kawan yang masuk di dalam lif tersebut. Kawan saya bercerita;
“Korang tau tak pensyarah tu cakap apa kat aku?”kata kawan saya itu.
Kami hanya menggeleng tidak tahu.
“Pensyarah tu cakap, saya tak suka naik lif dengan orang lain!”kata kawan saya itu sambil mengajuk percakapan yang diucapkan oleh pensyarah itu.
Kami hanya terkejut mendengar kata-kata tersebut. Kami berfikir bagaimana pensyarah tersebut boleh mengeluarkan ayat seperti  itu kerana lif tersebut merupakan kemudahan orang ramai dan bukan untuk dirinya sahaja. 

Ulasan:
Kata-kata  pensyarah tersebut adalah tidak wajar. Sebagai pensyarah tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri kerana seperti yang kita ketahui semua orang mengejar masa dan ingin cepat sampai ke tempat masing-masing. Pensyarah perlu menunjukkan sedikit rasa simpati melihat kami menunggu lama di hadapan lif. Perkara ini menunjukkan sikap pensyarah itu tidak sesuai dengan pangkatnya sebagai seorang yang memberi ilmu kepada pelajar. Mereka perlu berkomunikasi dengan berhemah dengan pelajar-pelajar.  Sekiranya tutur kata seperti mementingkan diri sendiri seperti itu, kemungkinan besar beliau tidak akan dihormati oleh pelajar. Sewajarnya pensyarah tersebut perlu bertutur dengan nada yang rendah dan berhemah sekiranya dia tidak membenarkan pelajar-pelajar masuk ke dalam lif. Beliau juga perlu melihat situasi dan keadaan sewaktu menuturkan kata-kata. Hal ini amat penting bagi memastikan seseorang itu disegani dan dihormati oleh orang lain.

Wednesday, January 19, 2011

Kisah 3: Keindahan Syair


Hari:Rabu
Tarikh:19 Januari 2011

Hari ini saya menghadiri kelas Kesusasteraan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas). Banyak perkara yang saya pelajari di dalam kelas ini bersama Dr. Siti Khairiah. Hari ini saya belajar beberapa tajuk yang terdapat dalam komsas seperti syair, seloka dan gurindam. Perkara yang menarik minat saya adalah syair yang dibaca oleh Dr. Khairiah. Syair alunannya penuh indah dan menusuk jiwa. Berikut merupakan rangkap syair yang telah dibaca oleh Dr. Siti Khairiah di dalam kelas;

Anakku sayang salahmu nyata,
Dalam pelajaran bertutur kata,
Duduk menulis kalam di lata,
Kembali kepada sekalian pendeta.
Kerana pelajaran beratur pangkatnya,
Jangan dicampur yang bukan masanya,
Kerja demikian besar salahnya,
Faham tak lekat dalam keduanya.
Pendengaran pasti menjadi haru,
Yang ditulis pun tentu keliru,
Laksana menumbuk beralas nyiru,
Berasnya luluh antah menderu.

Ulasan :               
Pada waktu itu, saya terfikir bahawa betapa indahnya syair yang dihasilkan oleh orang Melayu. Setiap rangkap yang dihasilkan memberi makna yang mendalam untuk dihayati. Masih ramai yang tidak mengetahui syair juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Antara ciri-ciri syair adalah setiap rangkap ada empat baris dan berfungsi sebagai kesatuan idea tetapi rangkap itu tidak boleh berdiri sendiri. Dalam syair juga terdapat hentian sebentar dalam satu baris atau dikenali juga sebagai jeda. Jumlah suku kata yang terdapat dalam syair adalah 8 sehingga 12 suku kata dan jumlah perkataan adalah 3 hingga 5 perkataan. Pola akhir  dalam syair  aa;aa dan isi syair mengisahkan perihal percintaan, pengajaran, falsafah, keagamaan dan lain-lain.
Pada pendapat saya, bagi seseorang guru bahasa mereka perlu menguasai cara menyampaikan syair bagi membolehkan pelajar turut menguasai syair. Namun Kebanyakan guru pada hari ini tidak  lagi menyampaikan syair di hadapan pelajar. Oleh sebab itu, tidak ramai pelajar pada masa ini boleh menyampaikan syair dengan baik. Sebagai orang Melayu kita hendaklah mengetahui segala komponen sastera yang terdapat di dalam iaitu syair bagi membolehkan warisan kita berkekalan.

Tuesday, January 18, 2011

Kisah 2: Kerenah Kawan Serumah


Hari:Selasa
Tarikh:18 Januari 2011

Hari ini jadual kelas saya agak padat.Kelas yang bermula pada pukul 8.00 pagi di Proton City akhirnya berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Cuaca panas terik pada hari ini menyebabkan saya berasa tersangat letih. Tambahan pula saya terpaksa berdiri di dalam bas dari Proton City sehingga ke kolej. Perasaan letih dan lapar mula menguasai dalam diri saya. Akhirnya bas sampai juga ke kolej kediaman. Saya tidak sabar untuk sampai ke rumah bagi merehatkan badan yang letih. Sewaktu saya membuka pintu rumah, saya terus disoal oleh adik serumah dengan saya;
“Kak Jeda gi mana ni?nape kuar tak tutup pintu bilik dengan lampu dan kipas yang terpasang?” soal budak serumah ini.
Saya  hairan dengan soalan yang diajukan ini. Saya baru pulang dari kelas dalam keadaan yang letih dan terus diajukan soalan yang bukan-bukan. Sedangkan saya yang keluar lebih awal daripada adik sebilik saya dan kenapa pula saya yang ditanya.

 “Kak Jeda baru balik dari kelas la,”saya menjawab dengan kesabaran yang masih bersisa dalam diri.
“Abis tu kalau Kak Jeda baru balik, kenapa bilik Kak Jeda terbuka?”sekali lagi budak serumah ini bertanya.
“Mana la Kak Jeda tau sape yang tak kunci pintu bilik tu,”saya membalas.
Adik sebilik saya yang terdiam di muka pintu mendengar kami bercakap. Dia kelihatan terfikir sejenak dan kemudian bersuara;
“Alamak Kak Jeda!Saya terlupa nak tutup pintu bilik tadi. Saya ingat Kak Jeda tak tutup pintu tadi. Baru saya teringat Kak Jeda keluar dulu pagi tadi. Soriiiiiii!”
Saya hanya mampu menggeleng-geleng kepala dengan situasi hari ini. Saya bersyukur kerana tiada sebarang benda yang hilang disebabkan kecuaian adik sebilik saya.

Ulasan:
Perkara seperti ini perlu dielakkan sekiranya kita tinggal bersama-sama  dalam sebuah rumah. Sikap saling berkerjasama dan menjaga perasaan antara satu sama lain amat penting dalam mengukuhkan persahabatan.  Sekiranya kita ingin bertanyakan soalan, kita perlu melihat situasi terlebih dahulu. Sekiranya seseorang itu di dalam keletihan dia perlu diberi masa untuk menghilangkan segala keletihannya. Hal ini kerana, apabila seseorang itu berada dalam keletihan mereka akan berasa mudah marah dan boleh menyebabkan sengketa. Setelah keletihannya reda, barulah boleh bertanya soalan dan soalan yang dikemukakan itu bukan dalam keadaan menuduh. Jika berlaku silap pertanyaan boleh menyebabkan hati seseorang itu terguris.
Selain itu, sebagai rakan sebilik kita perlu bersama-sama menjaga keadaan bilik. Kecuaian seperti membiarkan pintu bilik terbuka boleh menyebabkan barang-barang dicuri. Hal ini boleh menimbulkan konflik yang lebih besar antara mereka. Sebagai ahli rumah mereka perlu menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Monday, January 17, 2011

Kisah 1: Pemandu Teksi Yang Mencekik Darah dan Kurang Sopan

Hari:Isnin
Tarikh:17 Januari 2011

Hari ini merupakan hari yang amat menyakitkan hati. Selesai  kelas di Proton City, saya dan kawan baik saya ingin ke Pejabat Pos. Saya minta kawan saya ini temankan kerana saya hendak mengemaskini lesen saya yang sudah luput tarikhnya. Kami kesuntukan masa kerana kelas Sosiolinguistik bermula pada pukul 11 pagi. Masa yang sedikit ini menyebabkan kami menahan sebuah teksi yang sememangnya ada di hadapan kampus. Pemandunya berbangsa India dan berwajah garang. Dia hanya menganggukkan kepala sahaja sewaktu saya menyatakan ingin ke Pejabat Pos. Setelah sampai, saya meminta pemandu tadi menunggu kami dalam masa 10 minit. Orang agak ramai di dalam Pejabat Pos itu.  Saya mengagak kami mungkin lambat masuk ke kelas. Tetapi tidak sampai 10 minit, pemandu teksi tersebut turut masuk ke dalam Pejabat Pos dan melihat ke arah kami. Saya dan kawan saya turut hairan dengan tindakannya itu. Kami terus membuat keputusan untuk pulang semula ke kampus kerana tidak selesa dengan tindakan pemandu tersebut tanpa mengemaskini lesen. Setibanya di kampus saya bertanya mengenai bayaran.

"Berapa ringgit pak cik?", saya bertanya.
Dengan nada yang kasar dan tanpa senyuman pemandu tersebut membalas,"10 ringgit!".

Saya amat terkejut mendengar harga bayaran yang dikenakan dan tidak masuk akal itu. Jarak antara kampus dan Pejabat Pos lebih kurang 2 kilometer sahaja. Melihat wajahnya yang menunjukkan sifat tidak berkompromi, saya membatalkan niat untuk meminta dikurangkan harga tersebut. Saya terus membayar harga yang diminta walaupun berasa amat marah dengan sikap pemandu tersebut yang kurang sopan dan mencekik darah.Saya dan kawan saya berasa kesal dengan apa yang terjadi pada hari ini. Kejadian ini membuatkan kami perlu berhati-hati pada masa hadapan.


Ulasan:
Sikap pemandu teksi amat tidak wajar. Sebagai pemandu teksi, mereka perlu menggunakan bahasa yang sopan sewaktu bersama penumpang. Mereka perlu menunjukkan sikap yang mesra pelanggan dan tidak boleh menayangkan muka yang kurang menyenangkan kepada penumpang. Penumpang akan berasa tidak selesa sekiranya mereka menunjukkan muka yang masam tanpa senyuman. Hal ini kerana mereka memberi perkhidmatan dan penumpang akan membayar harga perkhidmatan mereka. Sekiranya penumpang meminta menunggu dalam masa yang ditetapkan mereka seharusnya menunggu dan mematuhinya. Pemandu teksi ini tidak boleh bersikap kasar dan mengenakan bayaran yang tidak sewajarnya kepada penumpang sesuka hati sahaja. Bahasa yang digunakan oleh pemandu teksi ini sememangnya tidak sesuai digunakan oleh mereka yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Mereka perlu bercakap dengan bahasa yang baik dan bersopan demi menjaga hati penumpang mereka. Seseorang akan dihormati sekiranya dia dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan orang lain.Saya berharap kejadian ini tidak berlaku kepada kawan-kawan saya yang lain.

Sunday, January 9, 2011

catatan seterusnya bermula disini...

Assalamualaikum dan halluuuuu...
Pertama kali buat blog. Amat meletihkan juga nak buat benda ni.Tapi boleh la sekadar untuk memenuhkan syarat untuk dapat markah tugasan individu.Bila lagi nak belajar buat kalau bukan hari ini kan?Jadi catatan daripada  aku akan bermula pada awal tahun ini.Jadi selamat menulis kepada kawan-kawan yang lain.